BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, December 22, 2011

CERMIN kan ada..LIHAT DIRIMU DI DALAMNYA!


Saat bulan memugari malam, saat mentari menongkah langit Dhuha, saat badai menerosok laut pasang, saat dengungan hiruk pikuk bandar Madinah Nasr menggema kala Isyak..


Di sini aku tetap berdiri dan bermundar-mandir, hidup ini tiada lekang dari 'problem', 'problem' dan 'problem'..dulu, kini, selamanya, sampai bila-bila..masalah hidup kunjung tiba, hadir pergi seperti tetamu 'Pijat' yang sangat akrab memenuhi jemputa
n 'saratoga' saat waktu tidurku tiba..Begitulah resam dunia. Namun,di sebalik kesusahan, pasti ada kesenangan, PASTI!..Sebab sudah menjadi sunnah, setiap perkara itu pasti ada 'cerminnya'..x percaya, cuba lihat diri kita pada cermin..kita angkat tangan kanan, 'dia' angkat tangan kiri, kita kenyit mata sebelah kanan, 'dia' kenyit mata sebelah kiri..kita tarik telinga kiri, 'dia' tarik telinga kanan pulak..memang begitu lah lumrah Cermin..



Terus, apa yang mampu kita belajar dari teori cermin yang sentiasa memantul, membalik dan meng'upside parallel'??

Nah, sebelum saya tolong jawabkan soalan tu, di sini ada suatu cerita yang ingin saya sampaikan..
*....

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke Barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."..

..Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'...
...Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam...

...Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."...


...Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."...

...Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah s.w.t. bahawa, "Pertama, apa yang engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu...

..Kedua, semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua..

..Ketiga, jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya...

..Keempat, jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat..

..Kelima, bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."..Intiha..-Noktah.*


Cerita ini ada kaitan dengan konsep cermin yang saya bawakan di atas..Cermin men'cerminkan' zahir kita, walau hakikatnya batin itu tetap ada,BUKTInya??..ye,mudah sahaja..Bila kita sedang menyisir elok rambut usai mandi, pasti ada sahaja kita mengeluh asbab sisiran rambut itu tidak sempurna dan tidak menepati cita rasa kita..dan semestinya kita akan cepat-cepat membetulkan fesyen sisiran rambut itu supaya kelihatan lebih baik..Nah, di situlah 'batin' kita dalam cermin..sentiasa inginkan kebaikan buat diri dan membetulkan segala kesilapan..

'Zahir' di dalam cermin sentiasa berlawanan arah dengan diri kita, 'Batin' di dalam cermin sentiasa mengungkapkan perasaan hati dan jiwa kita..saya percaya ada mesej yang ingin disampaikan dalam kebanyakan filem Melayu; seorang wanita akan duduk memandang dirinya di hadapan cermin kala dia dirundung kesedihan yang teramat..dia melihat 'Batin'nya dalam cermin, namun kesilapannya ialah dia tidak melihat 'Zahir'nya kala itu..apakah IA?

Di sinilah point saya dalam entri kali ini, jika kita merasakan pelbagai masalah mengunjung tiba, maka belajarlah dari CERMIN..mungkin kita pernah berbuat suatu perbuatan zahir yang menyebabkan diri kita sendiri menerima akibat, maka 'balik'kan perbuatan buruk itu dengan lawannya; perbuatan baik..sepertimana cermin membalikkan imej kita, maka itulah jalan penyelesaiannya..POSITIF DENGAN SETIAP NEGATIF YANG TIBA!

p/s: kalau rasa tak faham juga, jumpa saya, biar saya ceritakan dengan lebih dekat..(^,^)



Friday, May 6, 2011

Bila Bala Tiba..



Putaran kehidupan tidak akan sirna daripada kebahagiaan, kesenangan dan keceriaan. Tawa riang kanak-kanak berlari-lari anak di taman yang menghijau daun-daun pepohonnya sambil diperhati ibu ayah yang tersenyum ceria dan bahagia. Namun kala putaran itu tiba di bahagian bawah, situasi sebaliknya cukup menguji tiap-tiap hati yang merasai keperitannya. Ibarat roda basikal tatkala berada betul-betul di atas jalan yang berlekak-lekuk, kekadang terlanggar batu-batu tajam yang mencucuk-cucuk. Begitulah analogi yang menjadi lumrah alam.

" Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar " ( Al-Baqarah: 155 )

Pernah suatu ketika Allah SWT menggegarkan bumi sehingga hancur binasa kaum nabi Luth alaihissalam, suara pekikan yang maha dahsyat ibarat dentuman guruh yang tak pernah didengari manusia sekuat itu yang memupuskan kaum Tsamud, juga banjir besar yang menyapu bersih kaum nabi Nuh alaihissalam. Satu persatu azab Allah berbentuk bencana alam yang memberi seribu satu pengajaran buat umat manusia yang hidup pada zaman seterusnya.

Abad ke-21, ujian itu kembali menemui manusia. Banjir besar kem

bali bertugas memberi peringatan buat manusia yang bongkak. Pergerakan lapisan bumi di bawah lautan menggeserkan dua tektonik bumi yang besar menyebabkan ia bertindih antara satu sama lain. Natijahnya, Bumi Matahari Terbit bergegar selama beberapa minit. Beberapa ketika, laut bergolak dan mengalir deras selaju hampir 200 kilometer sejam dan aliran semakin deras tatkala menghampiri pantai. Tsunami menoktahkan beratus ribu korban jiwa manusia, kemusnahan harta benda yang maha dahsyat serta kehancuran t

eknologi negara yang dianggap gah di mata dunia, ditambah pula dengan kebocoran bahan radioaktif yang cukup membahayakan hidupan darat dan laut. Kemajuan dan kemodenan yang dibina selama beratus v tahun hanya dapat dimusnahkan dalam masa beberapa minit.

Itu baru cerita Tsunami di Jepun. Belum lagi dihikayatkan bala letusan gunung berapi, puting beliung, gempa bumi, kemarau panjang dan berbagai-bagai lagi bencana yang berlaku di atas bumi yang semakin tua ini. Semuanya terlaksana atas arahan Tuhan Maha Perkasa tanpa ada bantahan dan halangan. Sejenak kita mendongak ke langit. Berfikir dan bertadabbur hikmah di sebalik segala bencana yang berlaku. Allah SWT masih menyayangi hamba-hamba-Nya. Tidak ditimpakan bencana itu sehingga menghapuskan kesemua hidupan yang melata. Namun, hanya sebilangan yang diuji sebagai pengajaran buat yang tidak diuji.

Al-Quran merupakan mukjizat nabi Muhammad SAW yang terhebat. Setiap episod kisah di dalamnya wajar diperhati supaya tujuan kehidupan di atas muka bumi mengikut matlamatnya yang sebenar. Jika tersasar daripada landasannya, maka AWAS! Kemaksiatan dan gelumangan dosa bakal menyaksikan interprentasi kemurkaan Tuhan yang dizahirkan melalui makhluk-Nya yang bergelar unsur alam. Tidak mengenal darjat keturunan, usia, taraf pendidikan hatta agama sekalipun.

" Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (agar mentaati Allah), tetapi bila mereka melakukan kedurhakaan di dalam negeri itu, maka sepantasnya berlakulah perkataan (hukuman Kami), kemudian Kami binasakan sama sekali (negeri itu) " ( Al-Isra' : 16 )

Islam mendefinisikan bencana alam yang berlaku sebagai suatu hukuman dan amaran buat manusia yang angkuh, bongkak dan melakukan maksiat yang berterusan. Namun, ia dianggap suatu ujian tahap keimanan, kesabaran juga penghapus dosa buat kaum Muslimin yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

" Iaitu orang-orang yang apabila ditipa musibah, mereka berkata; Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya lah kami kembali . Mereka itulah (golongan) yang memperoleh keampunan dan rahmat daripada Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. "

( Al-Baqarah : 156-157 )

Tuntasnya, masihkah ada lagi sekelumit rasa insaf dan kesal dalam diri manusia asbab peristiwa bencana yang berlaku? Atau bala tersebut hanya sekadar menjadi buah mulut yang dituturkan tanpa ada kesedaran akan dekatnya Hari Perhitungan Teragung? Hadapkan wajah ke arah Baitullah dan bertaubatlah, sebelum jasad kita menjadi korban bencana seterusnya.

AbdNafi'

Kaherah, 5April 2011

Saturday, February 5, 2011

SAYA ADA MASALAH HISBAH

"Assalamualaikum..tumpang tanya, ustazah sorang-sorang ni nak ke mana?Kenapa tiada musyrif?" Tanpa memandang si ustaz tersebut, ustazah yang berjubah hitam itu terus beredar dan berjalan dengan pantas. Terpinga-pinga dibuatnya ustaz tersebut.

Kes hisbah semakin menjadi-jadi di Bumi Kinanah ini. Saban hari,ada sahaja laporan kes yang baru. Akhawat keluar malam ke pusat beli-belah, keluar malam tanpa musyrif, lelaki dan perempuan yang bukan mahram berdua-duaan, budaya couple yang melampau, ikhtilat tidak syarie sesama pasangan sama ada sudah bertunang mahupun yang masih belum, dan yang paling dahsyat adalah hubungan homoseksual!

"Ustaz, mana ada Tuhan sebut larangan keluar malam tanpa musyrif bagi akhawat dalam Quran ataupun dalam hadis Nabi SAW! "pekik seorang gadis apabila ditegur seorang ustaz berkopiah putih kala malam hari di kawasan Gamek, Hayyu Asyir. Terkelu lidah ustaz tersebut. Namun, rakannya yang turut ada di sebelahnya ketika itu menjawab, "Kalau begitu ustazah, ini bid'ah zaman moden ni. Kita kena perangi perkara ni. Zaman Nabi dulu pun mana ada musyrif kalau nak keluar malam kan. Tapi ustazah, saya pelik, kalau begitu, polis saman kereta yang langgar undang-undang lebuhraya pun bid'ah jugak. Nabi tak pernah suruh saman orang yang langgar undang-undang jalanraya kan?". Terdiam gadis tersebut.

Seorang ibu atau ayah akan menegur anaknya yang melakukan kesalahan atas dasar kasih sayang. Mereka mengetahui bahawa perkara yang dilakukan anaknya itu akan membawa kemudharatan pada masa hadapan. Begitulah perasaan dan simpati seorang manusia yang berani melantunkan suara menegur saudaranya yang dilihat melakukan perkara yang boleh membawa kemudharatan. Kalau bukan kerana kasih sesama saudara seagama, pastinya dia hanya akan membiarkan saja dan tidak mempedulikan. Biarkanlah, apa nak jadi jadilah. Siapa suruh dia mengada-ada buat perangai. Sudah kena dengan Pak Arab liar nanti tau lah dia. Jawapan tidak bertanggungjawab tanpa ada rasa kasih.

Lazatkah buat maksiat? Sememangnya begitu kerana tabiat nafsu yang tidak dididik sentiasa cenderung ke arah keseronokan dunia tanpa mengira batasan dan larangan. Tapi perlu difikirkan, adakah keseronokan di dunia ini akan berkekalan sehingga ke akhirat kelak?

Salah seorang presiden Amerika Syarikat pernah mengeluarkan kenyataan akhbar pada tahun 1962 yang menyatakan bahawa para pemuda di negaranya telah rosak dan tenggelam dalam keseronokan. Antara tujuh orang pemuda yang ingin menyertai tentera, terdapat enam orang yang tidak layak disebabkan leka dengan keseronokan seks. Itu cerita 49 tahun lampau. Zaman kini?

Ramai pemuda pemudi yang tidak berkahwin kerana pergaulan bebas merupakan jalan mudah untuk melampiaskan nafsu syahwat mereka. Bandar San Francisco pada tahun 1982 menunjukkan statistik majoriti penduduk di situ terdiri daripada golongan yang tidak berkahwin. Sekarang berapa ramai pula? Negara-negara lain bagaimana?

Menurut statistik yang telah dibuat di New York pada tahun 1983, lebih daripada satu pertiga bayi yang lahir pada tahun tersebut adalah anak luar nikah. Kebanyakannya dilahirkan oleh pemudi yang yang berumur sekitar sembilan belas tahun dan ke bawah. Bilangannya secara tepat ialah 112,353 orang bayi iaitu 37 peratus daripada bilangan bayi yang lahir di New York.

"Alah, di negara Barat memang sebegitu. Cara hidup mereka bebas dan hanya mementingkan hedonisme semata-mata. Di Timur tak seteruk itu," seorang gadis beralasan.

Baiklah, kajian di Malaysia menunjukkan sebanyak 17,303 anak luar nikah Melayu dan tidak didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009. Kira-kira 4700 pasangan melakukan seks setiap hari dan secara purata kira-kira 84 anak luar nikah dilahirkan setiap hari.

"Kami cuma berbual je ustaz. Mana ada buat apa-apa. Itupun cuma dalam Yahoo Messenger dan Facebook. Mana ada sampai buat perkara-perkara yang tak senonoh. Ustaz jangan tuduh lebih-lebih pulak," nadanya agak tidak puas hati.

Pujangga Arab, Shauqi pernah bersyair yang menyebut; Bermula dengan pandangan mata, diikuti dengan senyuman, disambut dengan sapaan dan salam, membuat temu janji dan akhirnya bertemu dan melakukan perbuatan zina. Api marak yang memakan segala objek bermula dengan suatu percikan kecil yang tidak menyakitkan. Begitu juga ikan pari yang unik dipandang mata jangan disangka tiada bisa yang mampu meragut nyawa. Asbab itu, suatu kaedah Fiqh perlu digunakan; Menutup pintu-pintu kemudharatan.

Dr. Mustofa Siba'ie dalam al-Maratu baina Fiqhi wal Qanun membincangkan perkara-perkara berkaitan pergaulan antara lelaki dan perempuan, iaitu:

1. Islam tidak membenarkan perempuan menampakkan perhiasan diri dan seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan.

2. Islam tidak membenarkan perempuan bersendirian bersama lelaki yang bukan mahramnya, walaupun dalam keadaan bersopan.

3. Islam tidak membenarkan perempuan untuk bercampur gaul dengan lelaki pada majlis-majlis suka ria dan keramaian, sungguhpun ia bersopan.

Nah, bagaimana pula dengan situasi seorang lelaki dan seorang wanita yang berbual mesra atau saling berbalas kata-kata manis dan menyeronokkan di tempat yang berasingan dan tidak nampak jasad masing-masing pun? Jawapannya mudah; sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula.

Justeru, hisbah atau dalam kata lain menegakkan yang ma'ruf apabila ia ditinggalkan secara terang-terangan dan mencegah kemungkaran apabila ia dilakukan secara terang-terangan adalah perlu, khususnya dalam suasana umat yang berpenyakit wahn sekarang. Dan sememangnya perlu atas dasar tanggungjawab serta sifat kasih sesama saudara Islam. Kasih sayang dan rahmat Tuhan lebih luas berbanding kemurkaan-Nya. Namun, perlu diketahui, azab dan kemurkaan Allah SWT itu amat besar dan dahsyat.

"Ustaz, saya tak mahu lagi berbual mesra dengan lelaki yang bukan mahram dan tidak akan keluar malam melainkan atas perkara-perkara yang penting sahaja. Itupun dengan musyrif. Saya sedar bahaya yang bakal menghampiri jika saya melakukan perkara tersebut. Saya punya maruah dan kehormatan diri, ustaz. Saya sedar kesalahan saya."

"Ustaz, saya sudah insaf. Saya tidak mahu lagi bermanja-manja dengan tunang saya melalui sms, telefon mahupun Yahoo Messenger atau Facebook. Saya mahukan kebahagiaan sejati yang tidak terconteng dek kotoran maksiat sebelum berkahwin kala mengalunkan lafaz Sakinah kelak."

"Alhamdulillah.." tersenyum ustaz muda berpendidikan perubatan tahun lima Universiti Al-Azhar itu.