BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, September 17, 2009

WITIR 1 RAKAAT 1 JAM


Alhamdulillah, semalam aku berkesempatan solat Tarawih di Masjid Amru al-As berimamkan Syeikh Jibril, imam Masjidilharam Mekah. Setiap 27 Ramadhan, beliau akan datang ke masjid Amru al-As untuk mengimami solat Tarawih setiap tahun. Sebanyak 4 coaster atau bas kecil dipanggil untuk membawa kami dari Hayyu Asyir ke Gami' Amru. Perjalanan mengambil masa selama kira-kira setengah jam.



Kami bertolak dari imarah selepas Asar. Ini untuk mengelakkan kesesakan. Ifthor di dalam masjid saja. Setibanya di sana, kami terpaksa berjalan kaki kira-kira 500 meter untuk sampai ke masjid kerana jalan sudah ditutup untuk kenderaan. Keadaan begitu sesak dengan kenderaan dan manusia. Lautan manusia di situ ibarat berada di Mekah. Mereka tidak mahu melepaskan peluang bertarawih bersama imam yang amat disegani itu. Aku begitu kagum dengan sikap orang Mesir pada bulan Ramadhan. Mereka begitu suka dan menghormati orang Malaysia khususnya. Aku sempat berbual dengan seorang ammu di luar masjid. Dia tinggal di Asyut dan turut bersama-sama bertarawih bersama Syeikh Jibril. Dia begitu gembira melihat kami ,umat Islam dari Malaysia. Pada awalnya, dia fikir aku orang Cina.Kelakar juga muka sawo matang ni dianggap seperti orang Cina.huhu.. Sepanjang berjalan kaki ke masjid, kami disedekahkan banyak makanan oleh penduduk di situ. Ada yang dapat air kotak, buah kurma dan lain-lain. Aku mendapat sebungkus to'miah atau roti isy yang diisi dengan nasi berlaukkan daging yang direbus. Boleh tahan juga rasanya.(",).





Manusia pelbagai bangsa berkumpul dalam satu tempat. Alhamdulillah, aku bersama kumpulanku berpeluang mendapat tempat dalam ruang solat masjid itu. Ramai orang yang beriktikaf dalam masjid itu. Terdapat satu ruangan yang disediakan untuk mereka yang ingin bermalam di masjid itu. Itupun masih tidak muat lagi.


Tarawih pada malam itu cukup terkesan di hatiku. Walaupun setiap rakaat dibaca 2 muka surat al-Quran, namun semangat berjemaah di situ cukup membuatkanku merasai kenikmatannya. Tazkirah ringkas turut diselitkan selepas 4 rakaat tarawih dan sebelum witir. Aku sedikit terkilan kerana tidak dapat melihat Syeikh Jibril disebabkan keadaan manusia yang sangat ramai dan bersesak-sesak.



Inilah pengalaman pertama bagiku bersembahyang witir 1 rakaat selam lebih 1 jam. Syeikh Jibril membaca doa qunut selama lebih 50 minit! Ya Allah, kali pertama merasainya amat memeritkan. Lenguh tangan. Sakitnya lututku kala itu. Macam-macam gaya tangan yang aku buat.huhu. Namun, orang-orang Arab begitu khusyuk berdoa. Tidak berganjak dari awal sampai
habis doa qunut. Pun begitu, aku begitu terkesan dengan doa yang dibacakan. Semua jemaah menangis teresak-esak tatkala sampai pada ayat-ayat ancaman neraka. Mereka begitu bersemangat mengaminkan doa sehingga bergema satu masjid pada malam itu.

Alhamdulillah, kami selesai solat dan keluar dari masjid lebih kurang jam 11.15 malam. Terlalu ramai manusia sehingga kami terpisah dari kumpulan dan menyelit di tengah-tengah orang Arab yang besar saiznya. Akhirnya, kami semua berjaya berkumpul pada satu tempat sebelum bergerak ke coaster. Semoga Allah menerima amalan kami dan membalas segala kepenatan kami dengan redha-Nya. Amin..


0 comments: