BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, November 13, 2009

Mengapa Lama Sangat tak Update?

1- Kesibukan dengan kuliah
2- Jadual harian yang padat
3- Malas pergi cyber cafe
4- Cuti hari Jumaat sahaja

"Sesungguhnya manusia sentiasa memberikan alasan pada setiap perkara"(Surah al-Kahfi)

Sukar sungguh mehnah dalam da'wah alam maya ni. Ditambah pula dengan tribulasi di alam realiti yang begitu merunsingkan. Terkadang lemah tak berdaya. Imtihan Qobul untuk pelajar wafidin yang baru dilaksanakan tahun ini semakin menjadikan diri ini kian parah. Sekiranya tidak lulus, perlu memasuki kelas pengukuhan bahasa arab yang dijalankan oleh pihak Azhar sendiri selama setahun. Sekiranya tidak lulus dalam imtihan qobul yang seterusnya, permohonan meneruskan pengajian di Universiti al-Azhar tidak akan diterima. Kesemua urusan kuliah tergendala ; tahlil dam,tasdiq dan kerneh sehingga natijah imtihan keluar. Dentuman kali kedua; hanya siswa siswi dari Malaysia sahaja yang belum menduduki imtihan lagi. Masa bergerak tanpa boleh dihentikan. Dikhabarkan imtihan kuliah bagi fatrah pertama akan dijalankan pada awal Januari tahun hadapan. Masa semakin suntuk. Terkapai-kapai menanti yang dinantikan. Kesabaran semakin teruji.

Inilah Mesir. Beribu-ribu kilometer dari tanah airku. Kadang-kadang aku terlupa yang aku sudah berada di Mesir. Kalimah "mim" disinonimkan kepada 'musibah', "shod"= 'sabar' dan "ra"= 'redha'. Bumi Musa dan Firaun. Pelbagai ragam manusia kian zahir di pandangan. Ada sahabat yang melenting. Ada juga yang pasrah sahaja. "Biasa la syeikh, orang Arab memang camtu pun..". Rungutan demi rungutan semakin memekakkan telingaku. Semakin hari, aku semakin mengenali budaya masyarakat ini. Hati kering la senang cerita. Tiada ungkapan terasa hati dan makan dalam. Semuanya terus terang je.

Ya Allah, aku memohon pada-Mu kesabaran atas setiap ujian, kemudahan atas setiap urusan, ikhlas dalam setiap amalan, berkat dalam setiap pekerjaan juga redha pada pengakhiran.

Buat keluarga, guru dan sahabat tercinta, kenang daku dalan doa kalian kerana kalian sentiasa dalam sanubari dan sentiasa disebut-sebut dalam susunan doaku.

Saturday, October 3, 2009

Utamakan Ukhuwah berbanding Khilaf!

Memang Allah jadikan kita berbeza, sama ada daripada sudut rupa paras, bahasa, apatah lagi idea serta pendapat.

Wahai kaum Muslimin, mengapa masalah khilaf dalam firqah dan fikrah islamiah dijadikan perbincangan utama dan diletakkan pada autoriti yang lebih tinggi daripada UKHUWAH FILLAH sedangkan matlamat dan hadaf masing-masing adalah sama; Ke Arah Menjadikan Islam Sebagai Ustaziatul Alam!

Pertimbangkan dan muhasabahlah semasak-masaknya. Usah dicaci, dikutuk dan dihina mereka yang melaksanakan da'wah walaupun fikrah mereka adalah berbezadengan diri kita. Sedarlah, Islam tidak ahkan maju dengan sikap-sikap begini yang secara logikalnya pasti menyebabbkan ketidakpuasan hati lantas menuju kepada perpecahan.
Perbezaan itu adalah fitrah. Persoalannya, bagaimanakah kita menghadapi dan mendepani segala khilaf ini? Lihatlah pada musuh yang sebenar, tunjangi setiap perkataan dengan hikmah. Kita punya prinsip,orang lain juga punya pinsip tersendiri. Namun, jangan sampai sedikit kelainan ini menjadi suatu stigma dan aib bagi Islam itu sendiri..

Ya Allah, lembutkanlah hati-hati kami agar kami menjadi orang yang sentiasa berakhlak mulia. Tiada Yang Mengetahui melainkan Engkau.

Thursday, September 17, 2009

WITIR 1 RAKAAT 1 JAM


Alhamdulillah, semalam aku berkesempatan solat Tarawih di Masjid Amru al-As berimamkan Syeikh Jibril, imam Masjidilharam Mekah. Setiap 27 Ramadhan, beliau akan datang ke masjid Amru al-As untuk mengimami solat Tarawih setiap tahun. Sebanyak 4 coaster atau bas kecil dipanggil untuk membawa kami dari Hayyu Asyir ke Gami' Amru. Perjalanan mengambil masa selama kira-kira setengah jam.



Kami bertolak dari imarah selepas Asar. Ini untuk mengelakkan kesesakan. Ifthor di dalam masjid saja. Setibanya di sana, kami terpaksa berjalan kaki kira-kira 500 meter untuk sampai ke masjid kerana jalan sudah ditutup untuk kenderaan. Keadaan begitu sesak dengan kenderaan dan manusia. Lautan manusia di situ ibarat berada di Mekah. Mereka tidak mahu melepaskan peluang bertarawih bersama imam yang amat disegani itu. Aku begitu kagum dengan sikap orang Mesir pada bulan Ramadhan. Mereka begitu suka dan menghormati orang Malaysia khususnya. Aku sempat berbual dengan seorang ammu di luar masjid. Dia tinggal di Asyut dan turut bersama-sama bertarawih bersama Syeikh Jibril. Dia begitu gembira melihat kami ,umat Islam dari Malaysia. Pada awalnya, dia fikir aku orang Cina.Kelakar juga muka sawo matang ni dianggap seperti orang Cina.huhu.. Sepanjang berjalan kaki ke masjid, kami disedekahkan banyak makanan oleh penduduk di situ. Ada yang dapat air kotak, buah kurma dan lain-lain. Aku mendapat sebungkus to'miah atau roti isy yang diisi dengan nasi berlaukkan daging yang direbus. Boleh tahan juga rasanya.(",).





Manusia pelbagai bangsa berkumpul dalam satu tempat. Alhamdulillah, aku bersama kumpulanku berpeluang mendapat tempat dalam ruang solat masjid itu. Ramai orang yang beriktikaf dalam masjid itu. Terdapat satu ruangan yang disediakan untuk mereka yang ingin bermalam di masjid itu. Itupun masih tidak muat lagi.


Tarawih pada malam itu cukup terkesan di hatiku. Walaupun setiap rakaat dibaca 2 muka surat al-Quran, namun semangat berjemaah di situ cukup membuatkanku merasai kenikmatannya. Tazkirah ringkas turut diselitkan selepas 4 rakaat tarawih dan sebelum witir. Aku sedikit terkilan kerana tidak dapat melihat Syeikh Jibril disebabkan keadaan manusia yang sangat ramai dan bersesak-sesak.



Inilah pengalaman pertama bagiku bersembahyang witir 1 rakaat selam lebih 1 jam. Syeikh Jibril membaca doa qunut selama lebih 50 minit! Ya Allah, kali pertama merasainya amat memeritkan. Lenguh tangan. Sakitnya lututku kala itu. Macam-macam gaya tangan yang aku buat.huhu. Namun, orang-orang Arab begitu khusyuk berdoa. Tidak berganjak dari awal sampai
habis doa qunut. Pun begitu, aku begitu terkesan dengan doa yang dibacakan. Semua jemaah menangis teresak-esak tatkala sampai pada ayat-ayat ancaman neraka. Mereka begitu bersemangat mengaminkan doa sehingga bergema satu masjid pada malam itu.

Alhamdulillah, kami selesai solat dan keluar dari masjid lebih kurang jam 11.15 malam. Terlalu ramai manusia sehingga kami terpisah dari kumpulan dan menyelit di tengah-tengah orang Arab yang besar saiznya. Akhirnya, kami semua berjaya berkumpul pada satu tempat sebelum bergerak ke coaster. Semoga Allah menerima amalan kami dan membalas segala kepenatan kami dengan redha-Nya. Amin..


Bermulalah Pengembaraan Itu...

Selamat Sejahtera kepada semua..maaf kiranya lambat meng'update' entriku walaupun sudah hampir 2minggu berada di perantauan..Setelah di'pressure' dari pelbagai sudut,alhamdulillah akhirnya dapat juga menyambung penulisan...maklumlah, masih tercari-cari sumber internet di tempat dan suasana baru..

Kali ini, aku akan mempersembahkan diari travelog gaya fotografi atau persembahan bergambar sepanjang perjalanan menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar, Kaherah...Terimalah..

2 SEPTEMBER 2009

KLIA : Dah macam berkumpul nak pergi haji..seramai lebih kurang 105 orang pelajar dermasiswa zakat Jabatan Agama Islam Selangor bersama ibu bapa dan keluarga masing-masing. Saat-saat terakhirku bersama umi,abah dan beberapa orang adik-beradik yang lain.



Kali pertama musafir ke negara orang membuatkanku terasa sedikit gementar. Macam-macam yang masuk dalam kepala. Perjalanan pertamaku dengan pesawat Gulf Airlines menuju ke Manama, Bahrain memakan masa selama lebih 8 jam. Sungguhpun begitu, terasa waktu tidak berganjak. Matahari sentiasa bersinar selama 8 jam perjalanan itu. Aku berusaha untuk meneruskan puasa kala itu, namun akhirnya tewas juga.(",)..Pengiring kumpulan kami menasihatkan kami berifthor sebagai rukhsoh musafir..Teragak-agak aku untuk menyuapkan makanan ke dalam mulut..Pengalaman pertama terlepas satu hari berpuasa pada bulan Ramadhan..Jangan risau, lepas raya nanti gantilah..huhu




Inilah hotel transitku di Manama,Bahrain. Pendapatan penduduk di sini sangat tinggi. Maklumlah, sebuah negara yang kecil dengan sumber minyak yang banyak. Itulah kelebihan negara-negara Arab. Tak hairanlah kalau kita lihat kereta BRABUS, PEUGEOT, PORSCHE, CHEVROLET dan lain-lain lagi 'bersepah-sepah' di jalanan seperti kereta Proton dan Perodua di Malaysia. Kereta polis pun guna kereta PEUGEOT. Suhu di sini sangat tinggi dan udaranya kering. Tiada sedikitpun awan di langit. Matahari terpacak tegak di atas kepala. Ya Allah, tak selesa betul. Lagi 'best' nye, air paip di sini macam air laut..masin! Bila air kena badan,sekejap je da kering..rasa macam tak mandi..Air minum sangat terhad.Bersyukurlah wahai penduduk Malaysia..hehe.


3 SEPTEMBER 2009


Manama Airport: Aku akan merindui Bahrain. Tak tau bila lagi dapat menjejakkan kaki ke pulau bertuah ini..Kami meneruskan perjalanan ke Kaherah kira-kira dalam pukul 8 pagi waktu tempatan.


Coretan Panorama di Manama


Akhirnya.....


gambar: Bandar Kaherah dari udara


Lebih kurang jam 2.30 petang waktu tempatan kami tiba di Cairo Airport dan disambut oleh Unit Sambutan Mahasiswa Baru, Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir. Alhamdulillah, suhu dan udara di sini lebih menyenangkan berbanding di Manama.(",)..namun, tetap berdebu dan berhabuk..



Kami dibawa dengan bas ke Rumah Negeri Selangor di Hayyu Asyir, Toob El-Ramly, Kaherah..Bermulalah suasana baruku hidup di perantauan. Lalu lintas di sini tidak seperti di Malaysia. Jalan yang sepatutnya dua lorong menjadi empat lorong. Tiada lampu isyarat. Kereta berhimpit-himpit. Hon ditekan seperti menekan brek kenderaan. Sana sini kedengaran hon kenderaan. Mengalahkan kesesakan Kuala Lumpur. Pening kepala dibuatnya. (",)

Dalam kesesakan perjalanan, ternampak pula dengan kereta ni. Teringat tanah airku Malaysia. Di sini, kereta Proton memang diminati. Paling banyak GEN-2..Proton Wira, Waja dan Perodua Kancil pun ada juga. Bangga menjadi rakyat Malaysia..(",)



Inilah kediamanku. Rumah-rumah di Mesir majoritinya adalah imarah atau bangunan dan terdapat 3 syaqqah atau rumah dalam bangunan pada setiap tingkat. Setiap rumah terdapat 3 bilik. Aku ditempatkan di tingkat teratas dalam imarah ni; tingkat 5. "Naik tangga turun tangga jela keje aku tiap-tiap hari (",)"

Ya Allah, semoga aku ditetapkan hati di tempat dan suasana baru ini dan mencapai matlamatku sepanjang 4 tahun di Bumi Anbiya' ini. Jauhkanlah kami daripada segala kejahatan dan kecelakaan. Jadikanlah kami daripada golongan Musa, bukan golongan Firaun. Amin ya Rabbal Alamin..

Sekian saja persembahan ini..

Friday, August 28, 2009

Congratulations My Beloved Father!

"Konvo Abah insya-Allah 10 November nanti,"sedikit saja yang dituturkannya ketika pulang dari kantor malam itu. Teruja aku, umi dan sekalian adik-adikku kala mendengar berita.


"Ucaplah tahniah kat Abah, Amin, "kata Umi pada adik bongsuku..Tahniah.Tahniah..Semua yang sedang duduk di ruang tamu malam itu bersalaman tahniah dengan Abah.


gambar 1 : Mohd Roslan bin Ahmad (Abah)

Ya, dialah ayahku! Dia telah berjaya menghabiskan pengajian masternya dalam bidang Business Management and Administration (BMA) atau lebih dikenali sebagai Sarjana Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan di Open University Malaysia, Kuala Lumpur selama lebih 2 tahun. Apa yang aku kagumi, dia berjaya menguruskan masanya dengan baik..bekerja dari pukul 8 pagi dan pulang selepas Maghrib hari Isnin sehingga Sabtu, pada hari Ahad pula hadir kuliah di KL sehingga tengahari..Namun, dirinya tetap mempamerkan keceriaan dengan keluarga walaupun sebenarnya dia sangat letih, apatah lagi apabila peperiksaan semakin hampir. Pernah suatu ketika aku terjaga daripada tidur lebih kurang jam 1.30 pagi. Aku menjenguk ke tingkat atas dan aku dapati Abah sedang tekun mentelaah buku-bukunya yang tebal bertemankan sebuah lampu meja.



gambar 2 : bergaya dengan baju rayanya

"Abah da dapat master..kamu semua pun kena buat macam Abah. Sekurang-kurangnya master..lagi bagus kalau dapat PhD. Kalau tak, malu jela.." kata-kata motivasi yang menyemarakkan semangatku untuk terus belajar. Aku begitu bangga mempunyai ayah sebegitu cekal dan kuat keazaman. Sungguhpun terpaksa berulang-alik dari Serdang ke Seremban mencari nafkah, namun keinginannya untuk terus menimba ilmu tidak sama sekali dapat dimusnahkan oleh segala kesibukan. Aku yakin impiannya untuk menjadi CEO syarikat akan tercapai suatu hari nanti. Amin ya Robbal 'alamin. Mabruk ya Abi!


*agak terkilan kerana tidak dapat bersama-sama pada majlis konvokesyen nanti..(berada di perantauan)*


gambar 3 : keluargaku

Friday, August 7, 2009

The Beginning of The Journey...


gambar : Muka Depan Perjanjian Dermasiswa Zakat (MAIS)

" Saya sedikit kecewa dengan ikrar yang dilafazkan bakal mahasiswa-mahasiswi Mesir, Jordan dan Morocco sebentar tadi. Kalian hanya berjanji untuk berusaha bersungguh-sungguh dan cemerlang dalam akademik sahaja, tetapi kalian tidak berikrar untuk bersungguh-sungguh meningkatkan sahsiah diri ke arah yang lebih baik! Saya tidak berapa setuju dengan lafaz ikrar sebentar tadi, " permulaan ucapan seorang yang sangat dihormati sebagai seorang pemimpin berwibawa dan berwawasan itu membuatkan sidang Dewan Auditorium Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) terkelu lidah serta kaget. Suasana dewan sunyi sepi. Para hadirin dan semua bakal mahasiswa pada Majlis Meraikan Pelajar-pelajar Dermasiswa Zakat (MAIS) Ke Universiti Luar Negara tengahari 3 Ogos itu terdiam.


gambar : YB. Dato' Dr. Hassan Mohamed Ali sedang menyampaikan ucapan

" Bagi saya, saya mahukan kecemerlangan sahsiah diletakkan di tempat yang teratas, selepas itu baru lah diiringi kecemerlangan dalam peperiksaan," tambah YB Dato' Dr. Hassan Mohamed Ali pada upacara Perasmian Penutupan tersebut. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu Infrastruktur dan Kemudahan Awam Kerajaan Negeri Selangor menyambung kembali, " Saya baru pulang dari lawatan melihat pelajar-pelajar di Mesir, Jordan dan Syria. Saya kecewa melihat mereka yang sedang menuntut di Jordan dan Mesir. Saya melihat dengan mata kepala saya sendiri 8 orang pelajar perubatan Mesir di lapangan terbang berambut panjang sampai ke bahu,memakai seluar jeans sambil membawa sebuah gitar. Pelajar perempuan pula memakai baju ketat, berseluar jeans serta TIDAK BERTUDUNG! Saya tinggal bersama-sama pelajar di Rumah Negeri Selangor di Hayyu Asyir. Saya hidup bersama mereka, makan masakan yang mereka masak serta solat berjemaah lima waktu bersama mereka. Namun, saya begitu kesal jemaah Subuh sangat sedikit. Diketuk pintu bilik pun belum tentu akan bangkit. "


gambar : Penyampaian wang pendahuluan kepada bakal mahasiswa Timur Tengah


Aku begitu terkesan mendengar kata-kata tersebut. Ia bersifat motivasi. Dr. Hassan Ali kemudian menceritakan pengalaman beliau belajar di Amerika pada peringkat Ijazah dan Doktor Falsafah. Beliau yang memiliki PhD dalam bidang Sains Perbandaran mewajibkan usrah bagi setiap bakal mahasiswa kerana dengan usrah lah, beliau yang bukan berpendidikan agama dapat menimba ilmu pengetahuan yang dapat mendekatkan diri pada Rabb al-Jalalah. Tiada gunanya jika kita pandai dan memiliki kelulusan yang baik tetapi tidak berperwatakan dan bersahsiah sebagai seorang muslim yang sentiasa takut akan Tuhan Yang Maha Mendengar dan Melihat. Lantas, beliau mewajibkan setiap pelajar tajaan zakat Selangor seramai 167 orang itu melibatkan diri dalam persatuan yang dapat meningkatkan kerohanian serta merapatkan ukhuwah. Bagi semua pelajar Mesir yang akan ke berangkat 2 September ini, diwajibkan menyertai BEKESAM dan PMRAM di bumi Anbiya' itu kelak. Key Performance Indicator (KPI) atau Petunjuk Utama Prestasi akan diambil kira terhadap para siswa dan siswi yang melibatkan 7 perkara dalam aspek sahsiah dan usrah. Kesemua ini dilakukan bagi melahirkan graduan yang berperwatakan Muslim sejati.

Aku sangat terkejut mendegar kata-kata tersebut. Mana tidaknya, rakan-rakanku yang sedang dan akan meneruskan pengajian di Mesir diharamkan dan diugut dengan pelbagai ancaman sekiranya didapati mereka menyertai persatuan yang tidak diiktiraf pihak penaja, khususnya PMRAM.

Bukanlah perkara itu yang ingin dibincangkan sekarang. Tetapi aku ingin menyuarakan kegembiraan dan kelegaan hatiku kala menerima surat jemputan untuk majlis tersebut setelah sekian lama tidak mendengar apa-apa berita daripada JAIS. Alhamdulillah, majlis tersebut berakhir selepas YB Dr. Hassan Mohamed Ali menyempurnakan majlis penutup dan menyampaikan wang pendahuluan sebanyak RM1000 kepada setiap penerima dermasiswa zakat (MAIS) ke universiti Timur Tengah. Borang permohonan visa telah ku hantar, cek pendahuluan sudah diterima, yang tinggal cuma perjanjian dermasiswa yang perlu dihantar pada 14 ogos ini. Jumlah dermasiswa adalah sebayak RM30,000 bagi pengajian islam/ bahasa arab. Agen TITM Travel Bhd. telah menempah penerbangan Gulf Air pada 2 dan 3 september depan pada pukul 11.30 pagi; KL-Abu Dhabi,transit sehari dan Abu Dhabi-Cairo pada hari seterusnya. Maksudnya, seramai 100 orang pertama akan berlepas pada 2 september dan selebihnya pada 3 september.


gambar : Fail Perjanjian

Tak sabar-sabar rasanya menimba pengalaman hidup di negara orang. Segala keperluan perlu disiapkan segera kerana 10 hingga 14 ogos ini aku perlu menyertai kursus BTN di KBN, Meru. Insya-Allah, azam perlu ditekad sepenuhnya agar matlamat ini tidak terpesong dan supaya diri ini sentiasa dilindungi Rabbul 'Izzati pada setiap saat dan tempat. اللهم فقّهني في الّدين و علّمني التأويل.....

Friday, July 10, 2009

Aku Sebagai Bahan UJIKAJI PPSMI...

Tanggal 8 Julai 2009, berakhirlah konflik dan kontroversi yang berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia apabila kerajaan pimpinan Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak akhirnya memutuskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ingeris (PPSMI) akan dimansuhkanberkuatkuasa tahun 2012. Usaha berterusan serta penat lelah sebahagian besar rakyat yang prihatin terhadap kontinuiti entiti bahasa Malaysia di negara tercinta akhirnya terbalas juga. Tentu sekali Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) , Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) , badan-badan bukan kerajaan, persatuan-persatuan mahasiswa yang terlibat, aktivis kerajaan mahupun swasta serta individu-individu yang terlibat secara langsung atau tidak dalam usaha memansuhkan pelaksanaan PPSMI yang dilihat sebagai pelenyap Lingua Franca secara impisit dan deplisit di Tanah Melayu era 20-an kini berpuas hati apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Menteri Pelajaran Malaysia mengumumkan keputusan pemansuhan tersebut secara rasmi. Menurut beliau, PPSMI yang telah dilaksanakan bermula tahun 2003 itu dimansuhkan bukan disebabkan kegagalannya, tetapi objektif pelaksanaannya yang setelah dikaji secara mendalam tidak mencapai sasaran yang diimpikan. Bahkan terdapat implikasi kurang memberangsangkan apabila statistik dan kajian yang dilakukan menunjukkan kejatuhan tahap penguasaan Sains dan Matematik dalam kalangan pelajar pada peringkat global dari tahun 2003 sehingga 2007.


Aku jadi tertarik setelah membaca artikel karangan Kamal Shukri Abdullah Sani, Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) yang beliau petik daripada artikel " Bahasa Melayu Akan Pupus " di blog Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan. Beliau menyatakan apabila bahasa Malaysia secara beransur-ansur mengalami pengurangan fungsi sebagai bahasa moden terutama sebagai bahasa ilmu, kedudukan dan darjat bahasa Malaysia dikhuatiri akan merosot menjadi bahasa basahan, bahasa pasar dan bahasa komunikasi tahap rendah, iaitu sekadar untuk menjadi alat perhubungan mudah. Tentu girang sekali para peserta demonstrasi " Mansuhkan PPSMI " yang dianjurkan di ibu negara 9 Mac lalu. Pengorbanan mereka akhirnya terbayar demi menyelamatkan bahasa kebangsaan Malaysia serta generasi pewaris negara pada masa akan datang. Sekalung tahniah dan terima kasih diucapkan.


Selaku bahan ujikaji pertama PPSMI (pelajar yang menduduki PMR tahun 2005 dan SPM 2007) , aku ingin berkongsi sedikit pengalaman kala menjadi pemboleh ubah eksperimen hasil cetusan idea mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pada awalnya, aku menyambut baik saja usaha kerajaan waktu itu. Yalah, aku kan bahan eksperimen. Ibarat anak burung yang menelan apa saja yang disuapkan oleh ibunya. Ake terima segalanya. Masa silih berganti, tahun demi tahun, paradigmaku kian bercambah dan aku dapati wujud sedikit kecacatan atau kebobrokan program ini walaupun secara jujurnya aku katakan kosa kata bahasa Inggerisku kian bertambah semenjak 5 tahun mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Menjelang PMR tahun 2005, aku dapat mengenal pasti suatu masalah yang terzahir iaitu topik dan sukatan pembelajaran Sains yang aku pelajari dikurangkan berbanding tahun sebelumnya yang menggunakan bahasa Malaysia. Ini bererti banyak fakta dan eksperimen yang telah digugurkan dan tidak dimuatkan dalam buku teks versi bahasa Inggeris tersebut dengan alasan untuk memudahkan pemahaman dan tidak memberatkan para pelajar dengan fakta-fakta yang membebankan kepala ditambah pula dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam proses P&P. Impaknya, aku sering mengeluh sendirian dan tidak berpuas hati melihatkan perbezaan kualiti ilmu dalam kedua-dua buku teks Sains berlainan bahasa tersebut. Masakan tidak, pastilah generasi sebelum ini lebih terkehadapan daripada sudut keilmuan kerana sukatan pelajaran dan eksperimen yang mereka jalankan lebih banyak berbanding kami yang mempelajari Sains dalam bahasa Inggeris. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kualiti atau standard penguasaan ilmu Sains itu sendiri kian jatuh!

Perkara kedua yang ingin aku kongsikan di ruangan ini ialah, aku melihat segelintir para pelajar yang sebaya denganku semakin bangga bertutur bahasa Inggeris sedangkan mereka malu untuk bertutur bahasa Malaysia walaupun ketika berinteraksi dengan kawan-kawan Melayu sendiri. Di sini wujud dua sudut pandangan berbeza; positif dan negatif. Secara positifnya, aku berpendapat mereka berani untuk mencuba bertutur dalam bahasa asing dengan harapan dapat menguasai bahasa tersebut. Tahniah aku ucapkan buat mereka yang sentiasa mahu meningkatkan kemahiran dan kemampuan untuk menguasai bahasa asing. Aku tidak menyalahkan golongan sebegini. Apa yang aku kesalkan ialah terdapat sebilangan kecil individu yang menyalahertikan penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan sehari-hari sehingga tidak mahu untuk bertutur bahasa ibunda sendiri. Masakan tidak, dengan alasan untuk memantapkan bahasa Inggeris, ke mana saja mereka pergi mereka akan bertutur dalam bahasa Inggeris tanpa mengira dengan siapa mereka berkomunikasi itu. Jika dilihat daripada sudut batiniyah, sikap seumpama ini secara tidak langsung akan mewujudkan sifat sum'ah (mahukan pujian manusia disebabkan kelebihan yang ada pada diri), menunjuk-nunjuk dan takabbur. Bagiku, cukuplah sekadar apabila bertemu dengan pelancong asing atau setidak-tidaknya kaum selain Melayu untuk bertutur dalam bahasa orang putih, tak perlulah dengan kawan sama kaum sendiri pun nak tunjuk lagak. Bahasa melambangkan bangsa. Justeru, mengapa malu untuk berbahasa Malaysia?

Seterusnya, aku melihat apabila bahasa Malaysia kurang dituturkan, budaya ke-Melayuan akan berkurang dalam diri sebaliknya budaya ke-Orang Putihan pula akan bercambah dalam diri jika tiadanya kesedaran untuk memartabatkan Melayu dalam diri. Aku ingin membawa sidang pembaca menelusuri sejarah keruntuhan empayar Turki Uthmaniyah pada penghujung abad ke-19. Antara strategi utama Mustafa Kemal Ataturk untuk menjauhkan Islam daripada bangsa Turki pada masa itu ialah dengan 'membuang' budaya dan bahasa Arab dan Parsi daripada diri segenap rakyatnya. Pengkhianat agama dan bangsa ini telah memerintahkan supaya azan dilaungkan dalam bahasa Turki menggantikan bahasa Arab selain menjauhkan umat Islam kala itu daripada mengenal huruf- huruf Al-Quran dan mengharamkan pemakaian tudung dan songkok. Sebaliknya, dia memperkenalkan budaya Barat seperti nama Barat dalam keluarga dan pengenalan Undang-undang Swiss menggantikan Undang-undang Keluarga Islam serta banyak lagi kerosakan budaya dan warisan Khilafah Uthmaniyah yang dilakukannya. Ini semua adalah disebabkan penerapan dan implementasi budaya Barat yang negatif dan bertentangan dengan Islam.

Justeru, aku khuatir bangsa Malaysia khususnya Melayu Muslim akan hilang identiti serta warisan Islam turun-temurun asbab tertipu dengan strategi licik musuh-musuh yang berselindung dalam selimut. Masakan tidak, mula-mula disuruh bertutur bahasa mereka, kemudian golongan yang tertipu ini akan mengikut cara berpakaian dan fesyen mereka yang menjolok mata dan mendedahkan aurat, dan akhir sekali ber'tuhan'kan mereka sehingga terpesong daripada akidah dan syariat Islam yang hakiki. Kesemuanya berpaksikan kepada Kafir Barat sehingga Islam itu hanya tertulis dalam kad pengenalan sahaja! Na'uzu billahi min zalik..

Sebagai intiha, aku ingin membuka paradigma sidang pembaca sekalian dengan berfikir sejenak, mengapakah mata pelajaran bahasa Arab tidak diwajibkan bagi penganut Islam di Malaysia sedangkan panduan umat Islam itu sendiri (Al-Quran dan Sunnah Nabi s. a. w.) itu sendiri adalah bertulisan dan berbahasa Arab? Inikah yang dinamakan negara Islam contoh pada peringkat antarabangsa sedangkan panduan hidup setiap individu Muslim itu sendiri tidak difahami isi kandungannya? Renung-renungkan wahai orang yang mempunyai akal. Adakah kita ini Melayu acuan Islam atau Melayu acuan Barat? Tepuk dada, tanyalah iman.


Thursday, June 4, 2009

MENULISLAH...

"Ustaz, saya memang tak pandai dalam bercakap ni, mesti tersangkut-sangkut dan tergagap..nak-nak lagi kalau berucap depan orang ramai..Macam mana nak atasi kelemahan ni ustaz? Runsing saya dibuatnya," luahku sejujurnya.

"Senang je..enta biasakan diri dengan menulis.Bila kita menulis, kita akan biasakan diri dengan susun atur setiap patah perkataan dan penyesuaian pada setiap bentuk ayat. Ustaz syorkan enta hasilkan blog. Tulis apa saja yang enta mahu," bernas juga cadangan Ustaz.


Nah, di sinilah bermulanya aku bersama penulisanku. Terima kasih buat Ustaz yang berkredibiliti tinggi ini.Blog ini adalah wacana diriku.Perspektif dan horizon pemikiranku.Meski aku yakin,pastinya ada pro dan kontra pada setiap hujahku. Dan pastinya akan wujud banyak kontradiksi serta paradoks yang lahir berdasarkan paradigma sidang pembaca sekalian. Namun tak mengapa syeikh!Khilaf itu adalah rahmat selagi tidak menyentuh aspek akidah, hukum-hukum qat'i serta masalah-masalah usul. Kalian bebas untuk berfikir dan mengatakan apa-apa saja.Penulisan dalam blog ini adalah paradigma, buah fikiran serta pengalaman hidupku. Moga dapat menjadi suatu 'ibrah dan mustafadah buat para pembaca sekalian.

Aku terpanggil untuk menyahut seruan Nabi s. a. w. melalui sabda baginda yang mafhumnya;
"Barangsiapa yang mengamalkan ilmu yang ada pada dirinya , nescaya Allah s. w. t. akan mewariskan baginya suatu ilmu yang tidak pernah diketahuinya sebelum ini. "
Aku begitu kagum tatkala mengetahui seorang guruku yang mulia sangat aktif dalam bidang penulisan kitab sehingga dapat menghasilkan sekurang-kurangnya dua buah kitab dalam tempoh sebulan, sedangkan beliau sangat sibuk dengan tugasnya sebagai seorang pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia serta menerima banyak jemputan untuk menyampaikan kuliah di masjid-masjid. Dengan penuh tawadhuk, al-Fadhil ustaz Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakry menyatakan usaha itu hanyalah suatu usaha yang kecil.

Subhanallah! Sekiranya seorang pensyarah bertaraf Doktor Falsafah itu mampu untuk menghasilkan penulisan sedemikian rupa, lantas bagaimana pula dengan diriku yang masih tertatih-tatih untuk memulakan pengajian ijazah pertamaku untuk berusaha seperti itu juga?

Benarlah firman Allah s. w. t. dalam surah al-'Alaq ayat 4 yang bermaksud;
"(Dialah Tuhan) yang mengajar (manusia) dengan pena."
Justeru, tanpa pena tiadalah dakwat. Tanpa dakwat tiadalah tulisan. Dan tanpa tulisan tiadalah bahan bacaan. Maka mundurlah suatu bangsa itu tanpa ilmu pengetahuan yang diwarisi zaman berzaman.

Hatiku tersentak kala mengetahui bahawa Khalifah al-Makmun, seorang pemimpin pada zaman kerajaan Abbasiyah yang telah mendirikan Baitul Hikmah telah menawarkan kepada sesiapa yang mampu menterjemahkan sesuatu penulisan asing akan dihadiahkan emas seberat terjemahan kitab yang telah dihasilkannya. Lantas, berlumba-lumbalah rakyat pada masa itu kala mendengar suatu seruan motivasi yang daripada khalifah yang sangat memahami kelangsungan ilmu pengetahuan itu. Maka, tidaklah begitu menghairankan apabila Islam pada ketika itu telah menguasai hampir tiga per empat daripada dunia!

"Sesiapa yang menginginkan habuan dunia,maka hendaklah berpandukan imu. Barangsiapa yang menginginkan habuan akhirat,maka hendaklah berpandukan ilmu. Dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, maka hendaklah juga berpandukan ilmu." Kata-kata hikmah yang menjadi peganganku selama-lamanya.

"Insyaallah Ustaz, saya akan menulis mulai sekarang,"getus hati kecilku.Tekad sekali.

Monday, June 1, 2009

SALAM BARAKATILLAH.......

"Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya hari ini adalah kejadian yang baru, maka bukakanlah kepadaku pintu ketaatan kepada-Mu, sudahkanlah ia dengan keampunan dan keredhaan daripada-Mu, kurniakanlah aku padanya kebaikan yang Engkau makbulkan dan gandakanlah ia untukku. Seandainya daku melakukan kejahatan padanya maka ampunkanlah daku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Mengasihani, juga Maha Penyayang dan Maha Mulia."
( Doa Nabi Ibrahim, Ihya' Ulumuddin, Tabaqat al-Syafi'i al-Kubra )


"Ya Allah ya Tuhanku, aku pohon kepada-Mu segala kebaikan yang ada pada hari ini iaitu; kejayaannya, kemenangannya, seri cahayanya, keberkatannya dan hidayahnya.Aku berlindung pada-Mu daripada segala bala bencana yang ada pada hari ini; dan bala bencana yang ada pada hari sebelumnya; juga bala bencana yang ada pada hari selepasnya."

( Doa Rasulullah s. a. w. riwayat Abu Malik al-Asy'ari dalam Sunan Abu Daud, Mu'jam al-Tabrani al-Kabir )