BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, June 4, 2009

MENULISLAH...

"Ustaz, saya memang tak pandai dalam bercakap ni, mesti tersangkut-sangkut dan tergagap..nak-nak lagi kalau berucap depan orang ramai..Macam mana nak atasi kelemahan ni ustaz? Runsing saya dibuatnya," luahku sejujurnya.

"Senang je..enta biasakan diri dengan menulis.Bila kita menulis, kita akan biasakan diri dengan susun atur setiap patah perkataan dan penyesuaian pada setiap bentuk ayat. Ustaz syorkan enta hasilkan blog. Tulis apa saja yang enta mahu," bernas juga cadangan Ustaz.


Nah, di sinilah bermulanya aku bersama penulisanku. Terima kasih buat Ustaz yang berkredibiliti tinggi ini.Blog ini adalah wacana diriku.Perspektif dan horizon pemikiranku.Meski aku yakin,pastinya ada pro dan kontra pada setiap hujahku. Dan pastinya akan wujud banyak kontradiksi serta paradoks yang lahir berdasarkan paradigma sidang pembaca sekalian. Namun tak mengapa syeikh!Khilaf itu adalah rahmat selagi tidak menyentuh aspek akidah, hukum-hukum qat'i serta masalah-masalah usul. Kalian bebas untuk berfikir dan mengatakan apa-apa saja.Penulisan dalam blog ini adalah paradigma, buah fikiran serta pengalaman hidupku. Moga dapat menjadi suatu 'ibrah dan mustafadah buat para pembaca sekalian.

Aku terpanggil untuk menyahut seruan Nabi s. a. w. melalui sabda baginda yang mafhumnya;
"Barangsiapa yang mengamalkan ilmu yang ada pada dirinya , nescaya Allah s. w. t. akan mewariskan baginya suatu ilmu yang tidak pernah diketahuinya sebelum ini. "
Aku begitu kagum tatkala mengetahui seorang guruku yang mulia sangat aktif dalam bidang penulisan kitab sehingga dapat menghasilkan sekurang-kurangnya dua buah kitab dalam tempoh sebulan, sedangkan beliau sangat sibuk dengan tugasnya sebagai seorang pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia serta menerima banyak jemputan untuk menyampaikan kuliah di masjid-masjid. Dengan penuh tawadhuk, al-Fadhil ustaz Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakry menyatakan usaha itu hanyalah suatu usaha yang kecil.

Subhanallah! Sekiranya seorang pensyarah bertaraf Doktor Falsafah itu mampu untuk menghasilkan penulisan sedemikian rupa, lantas bagaimana pula dengan diriku yang masih tertatih-tatih untuk memulakan pengajian ijazah pertamaku untuk berusaha seperti itu juga?

Benarlah firman Allah s. w. t. dalam surah al-'Alaq ayat 4 yang bermaksud;
"(Dialah Tuhan) yang mengajar (manusia) dengan pena."
Justeru, tanpa pena tiadalah dakwat. Tanpa dakwat tiadalah tulisan. Dan tanpa tulisan tiadalah bahan bacaan. Maka mundurlah suatu bangsa itu tanpa ilmu pengetahuan yang diwarisi zaman berzaman.

Hatiku tersentak kala mengetahui bahawa Khalifah al-Makmun, seorang pemimpin pada zaman kerajaan Abbasiyah yang telah mendirikan Baitul Hikmah telah menawarkan kepada sesiapa yang mampu menterjemahkan sesuatu penulisan asing akan dihadiahkan emas seberat terjemahan kitab yang telah dihasilkannya. Lantas, berlumba-lumbalah rakyat pada masa itu kala mendengar suatu seruan motivasi yang daripada khalifah yang sangat memahami kelangsungan ilmu pengetahuan itu. Maka, tidaklah begitu menghairankan apabila Islam pada ketika itu telah menguasai hampir tiga per empat daripada dunia!

"Sesiapa yang menginginkan habuan dunia,maka hendaklah berpandukan imu. Barangsiapa yang menginginkan habuan akhirat,maka hendaklah berpandukan ilmu. Dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, maka hendaklah juga berpandukan ilmu." Kata-kata hikmah yang menjadi peganganku selama-lamanya.

"Insyaallah Ustaz, saya akan menulis mulai sekarang,"getus hati kecilku.Tekad sekali.

Monday, June 1, 2009

SALAM BARAKATILLAH.......

"Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya hari ini adalah kejadian yang baru, maka bukakanlah kepadaku pintu ketaatan kepada-Mu, sudahkanlah ia dengan keampunan dan keredhaan daripada-Mu, kurniakanlah aku padanya kebaikan yang Engkau makbulkan dan gandakanlah ia untukku. Seandainya daku melakukan kejahatan padanya maka ampunkanlah daku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Mengasihani, juga Maha Penyayang dan Maha Mulia."
( Doa Nabi Ibrahim, Ihya' Ulumuddin, Tabaqat al-Syafi'i al-Kubra )


"Ya Allah ya Tuhanku, aku pohon kepada-Mu segala kebaikan yang ada pada hari ini iaitu; kejayaannya, kemenangannya, seri cahayanya, keberkatannya dan hidayahnya.Aku berlindung pada-Mu daripada segala bala bencana yang ada pada hari ini; dan bala bencana yang ada pada hari sebelumnya; juga bala bencana yang ada pada hari selepasnya."

( Doa Rasulullah s. a. w. riwayat Abu Malik al-Asy'ari dalam Sunan Abu Daud, Mu'jam al-Tabrani al-Kabir )