BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, February 5, 2011

SAYA ADA MASALAH HISBAH

"Assalamualaikum..tumpang tanya, ustazah sorang-sorang ni nak ke mana?Kenapa tiada musyrif?" Tanpa memandang si ustaz tersebut, ustazah yang berjubah hitam itu terus beredar dan berjalan dengan pantas. Terpinga-pinga dibuatnya ustaz tersebut.

Kes hisbah semakin menjadi-jadi di Bumi Kinanah ini. Saban hari,ada sahaja laporan kes yang baru. Akhawat keluar malam ke pusat beli-belah, keluar malam tanpa musyrif, lelaki dan perempuan yang bukan mahram berdua-duaan, budaya couple yang melampau, ikhtilat tidak syarie sesama pasangan sama ada sudah bertunang mahupun yang masih belum, dan yang paling dahsyat adalah hubungan homoseksual!

"Ustaz, mana ada Tuhan sebut larangan keluar malam tanpa musyrif bagi akhawat dalam Quran ataupun dalam hadis Nabi SAW! "pekik seorang gadis apabila ditegur seorang ustaz berkopiah putih kala malam hari di kawasan Gamek, Hayyu Asyir. Terkelu lidah ustaz tersebut. Namun, rakannya yang turut ada di sebelahnya ketika itu menjawab, "Kalau begitu ustazah, ini bid'ah zaman moden ni. Kita kena perangi perkara ni. Zaman Nabi dulu pun mana ada musyrif kalau nak keluar malam kan. Tapi ustazah, saya pelik, kalau begitu, polis saman kereta yang langgar undang-undang lebuhraya pun bid'ah jugak. Nabi tak pernah suruh saman orang yang langgar undang-undang jalanraya kan?". Terdiam gadis tersebut.

Seorang ibu atau ayah akan menegur anaknya yang melakukan kesalahan atas dasar kasih sayang. Mereka mengetahui bahawa perkara yang dilakukan anaknya itu akan membawa kemudharatan pada masa hadapan. Begitulah perasaan dan simpati seorang manusia yang berani melantunkan suara menegur saudaranya yang dilihat melakukan perkara yang boleh membawa kemudharatan. Kalau bukan kerana kasih sesama saudara seagama, pastinya dia hanya akan membiarkan saja dan tidak mempedulikan. Biarkanlah, apa nak jadi jadilah. Siapa suruh dia mengada-ada buat perangai. Sudah kena dengan Pak Arab liar nanti tau lah dia. Jawapan tidak bertanggungjawab tanpa ada rasa kasih.

Lazatkah buat maksiat? Sememangnya begitu kerana tabiat nafsu yang tidak dididik sentiasa cenderung ke arah keseronokan dunia tanpa mengira batasan dan larangan. Tapi perlu difikirkan, adakah keseronokan di dunia ini akan berkekalan sehingga ke akhirat kelak?

Salah seorang presiden Amerika Syarikat pernah mengeluarkan kenyataan akhbar pada tahun 1962 yang menyatakan bahawa para pemuda di negaranya telah rosak dan tenggelam dalam keseronokan. Antara tujuh orang pemuda yang ingin menyertai tentera, terdapat enam orang yang tidak layak disebabkan leka dengan keseronokan seks. Itu cerita 49 tahun lampau. Zaman kini?

Ramai pemuda pemudi yang tidak berkahwin kerana pergaulan bebas merupakan jalan mudah untuk melampiaskan nafsu syahwat mereka. Bandar San Francisco pada tahun 1982 menunjukkan statistik majoriti penduduk di situ terdiri daripada golongan yang tidak berkahwin. Sekarang berapa ramai pula? Negara-negara lain bagaimana?

Menurut statistik yang telah dibuat di New York pada tahun 1983, lebih daripada satu pertiga bayi yang lahir pada tahun tersebut adalah anak luar nikah. Kebanyakannya dilahirkan oleh pemudi yang yang berumur sekitar sembilan belas tahun dan ke bawah. Bilangannya secara tepat ialah 112,353 orang bayi iaitu 37 peratus daripada bilangan bayi yang lahir di New York.

"Alah, di negara Barat memang sebegitu. Cara hidup mereka bebas dan hanya mementingkan hedonisme semata-mata. Di Timur tak seteruk itu," seorang gadis beralasan.

Baiklah, kajian di Malaysia menunjukkan sebanyak 17,303 anak luar nikah Melayu dan tidak didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009. Kira-kira 4700 pasangan melakukan seks setiap hari dan secara purata kira-kira 84 anak luar nikah dilahirkan setiap hari.

"Kami cuma berbual je ustaz. Mana ada buat apa-apa. Itupun cuma dalam Yahoo Messenger dan Facebook. Mana ada sampai buat perkara-perkara yang tak senonoh. Ustaz jangan tuduh lebih-lebih pulak," nadanya agak tidak puas hati.

Pujangga Arab, Shauqi pernah bersyair yang menyebut; Bermula dengan pandangan mata, diikuti dengan senyuman, disambut dengan sapaan dan salam, membuat temu janji dan akhirnya bertemu dan melakukan perbuatan zina. Api marak yang memakan segala objek bermula dengan suatu percikan kecil yang tidak menyakitkan. Begitu juga ikan pari yang unik dipandang mata jangan disangka tiada bisa yang mampu meragut nyawa. Asbab itu, suatu kaedah Fiqh perlu digunakan; Menutup pintu-pintu kemudharatan.

Dr. Mustofa Siba'ie dalam al-Maratu baina Fiqhi wal Qanun membincangkan perkara-perkara berkaitan pergaulan antara lelaki dan perempuan, iaitu:

1. Islam tidak membenarkan perempuan menampakkan perhiasan diri dan seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan.

2. Islam tidak membenarkan perempuan bersendirian bersama lelaki yang bukan mahramnya, walaupun dalam keadaan bersopan.

3. Islam tidak membenarkan perempuan untuk bercampur gaul dengan lelaki pada majlis-majlis suka ria dan keramaian, sungguhpun ia bersopan.

Nah, bagaimana pula dengan situasi seorang lelaki dan seorang wanita yang berbual mesra atau saling berbalas kata-kata manis dan menyeronokkan di tempat yang berasingan dan tidak nampak jasad masing-masing pun? Jawapannya mudah; sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula.

Justeru, hisbah atau dalam kata lain menegakkan yang ma'ruf apabila ia ditinggalkan secara terang-terangan dan mencegah kemungkaran apabila ia dilakukan secara terang-terangan adalah perlu, khususnya dalam suasana umat yang berpenyakit wahn sekarang. Dan sememangnya perlu atas dasar tanggungjawab serta sifat kasih sesama saudara Islam. Kasih sayang dan rahmat Tuhan lebih luas berbanding kemurkaan-Nya. Namun, perlu diketahui, azab dan kemurkaan Allah SWT itu amat besar dan dahsyat.

"Ustaz, saya tak mahu lagi berbual mesra dengan lelaki yang bukan mahram dan tidak akan keluar malam melainkan atas perkara-perkara yang penting sahaja. Itupun dengan musyrif. Saya sedar bahaya yang bakal menghampiri jika saya melakukan perkara tersebut. Saya punya maruah dan kehormatan diri, ustaz. Saya sedar kesalahan saya."

"Ustaz, saya sudah insaf. Saya tidak mahu lagi bermanja-manja dengan tunang saya melalui sms, telefon mahupun Yahoo Messenger atau Facebook. Saya mahukan kebahagiaan sejati yang tidak terconteng dek kotoran maksiat sebelum berkahwin kala mengalunkan lafaz Sakinah kelak."

"Alhamdulillah.." tersenyum ustaz muda berpendidikan perubatan tahun lima Universiti Al-Azhar itu.