BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, August 28, 2009

Congratulations My Beloved Father!

"Konvo Abah insya-Allah 10 November nanti,"sedikit saja yang dituturkannya ketika pulang dari kantor malam itu. Teruja aku, umi dan sekalian adik-adikku kala mendengar berita.


"Ucaplah tahniah kat Abah, Amin, "kata Umi pada adik bongsuku..Tahniah.Tahniah..Semua yang sedang duduk di ruang tamu malam itu bersalaman tahniah dengan Abah.


gambar 1 : Mohd Roslan bin Ahmad (Abah)

Ya, dialah ayahku! Dia telah berjaya menghabiskan pengajian masternya dalam bidang Business Management and Administration (BMA) atau lebih dikenali sebagai Sarjana Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan di Open University Malaysia, Kuala Lumpur selama lebih 2 tahun. Apa yang aku kagumi, dia berjaya menguruskan masanya dengan baik..bekerja dari pukul 8 pagi dan pulang selepas Maghrib hari Isnin sehingga Sabtu, pada hari Ahad pula hadir kuliah di KL sehingga tengahari..Namun, dirinya tetap mempamerkan keceriaan dengan keluarga walaupun sebenarnya dia sangat letih, apatah lagi apabila peperiksaan semakin hampir. Pernah suatu ketika aku terjaga daripada tidur lebih kurang jam 1.30 pagi. Aku menjenguk ke tingkat atas dan aku dapati Abah sedang tekun mentelaah buku-bukunya yang tebal bertemankan sebuah lampu meja.



gambar 2 : bergaya dengan baju rayanya

"Abah da dapat master..kamu semua pun kena buat macam Abah. Sekurang-kurangnya master..lagi bagus kalau dapat PhD. Kalau tak, malu jela.." kata-kata motivasi yang menyemarakkan semangatku untuk terus belajar. Aku begitu bangga mempunyai ayah sebegitu cekal dan kuat keazaman. Sungguhpun terpaksa berulang-alik dari Serdang ke Seremban mencari nafkah, namun keinginannya untuk terus menimba ilmu tidak sama sekali dapat dimusnahkan oleh segala kesibukan. Aku yakin impiannya untuk menjadi CEO syarikat akan tercapai suatu hari nanti. Amin ya Robbal 'alamin. Mabruk ya Abi!


*agak terkilan kerana tidak dapat bersama-sama pada majlis konvokesyen nanti..(berada di perantauan)*


gambar 3 : keluargaku

Friday, August 7, 2009

The Beginning of The Journey...


gambar : Muka Depan Perjanjian Dermasiswa Zakat (MAIS)

" Saya sedikit kecewa dengan ikrar yang dilafazkan bakal mahasiswa-mahasiswi Mesir, Jordan dan Morocco sebentar tadi. Kalian hanya berjanji untuk berusaha bersungguh-sungguh dan cemerlang dalam akademik sahaja, tetapi kalian tidak berikrar untuk bersungguh-sungguh meningkatkan sahsiah diri ke arah yang lebih baik! Saya tidak berapa setuju dengan lafaz ikrar sebentar tadi, " permulaan ucapan seorang yang sangat dihormati sebagai seorang pemimpin berwibawa dan berwawasan itu membuatkan sidang Dewan Auditorium Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) terkelu lidah serta kaget. Suasana dewan sunyi sepi. Para hadirin dan semua bakal mahasiswa pada Majlis Meraikan Pelajar-pelajar Dermasiswa Zakat (MAIS) Ke Universiti Luar Negara tengahari 3 Ogos itu terdiam.


gambar : YB. Dato' Dr. Hassan Mohamed Ali sedang menyampaikan ucapan

" Bagi saya, saya mahukan kecemerlangan sahsiah diletakkan di tempat yang teratas, selepas itu baru lah diiringi kecemerlangan dalam peperiksaan," tambah YB Dato' Dr. Hassan Mohamed Ali pada upacara Perasmian Penutupan tersebut. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu Infrastruktur dan Kemudahan Awam Kerajaan Negeri Selangor menyambung kembali, " Saya baru pulang dari lawatan melihat pelajar-pelajar di Mesir, Jordan dan Syria. Saya kecewa melihat mereka yang sedang menuntut di Jordan dan Mesir. Saya melihat dengan mata kepala saya sendiri 8 orang pelajar perubatan Mesir di lapangan terbang berambut panjang sampai ke bahu,memakai seluar jeans sambil membawa sebuah gitar. Pelajar perempuan pula memakai baju ketat, berseluar jeans serta TIDAK BERTUDUNG! Saya tinggal bersama-sama pelajar di Rumah Negeri Selangor di Hayyu Asyir. Saya hidup bersama mereka, makan masakan yang mereka masak serta solat berjemaah lima waktu bersama mereka. Namun, saya begitu kesal jemaah Subuh sangat sedikit. Diketuk pintu bilik pun belum tentu akan bangkit. "


gambar : Penyampaian wang pendahuluan kepada bakal mahasiswa Timur Tengah


Aku begitu terkesan mendengar kata-kata tersebut. Ia bersifat motivasi. Dr. Hassan Ali kemudian menceritakan pengalaman beliau belajar di Amerika pada peringkat Ijazah dan Doktor Falsafah. Beliau yang memiliki PhD dalam bidang Sains Perbandaran mewajibkan usrah bagi setiap bakal mahasiswa kerana dengan usrah lah, beliau yang bukan berpendidikan agama dapat menimba ilmu pengetahuan yang dapat mendekatkan diri pada Rabb al-Jalalah. Tiada gunanya jika kita pandai dan memiliki kelulusan yang baik tetapi tidak berperwatakan dan bersahsiah sebagai seorang muslim yang sentiasa takut akan Tuhan Yang Maha Mendengar dan Melihat. Lantas, beliau mewajibkan setiap pelajar tajaan zakat Selangor seramai 167 orang itu melibatkan diri dalam persatuan yang dapat meningkatkan kerohanian serta merapatkan ukhuwah. Bagi semua pelajar Mesir yang akan ke berangkat 2 September ini, diwajibkan menyertai BEKESAM dan PMRAM di bumi Anbiya' itu kelak. Key Performance Indicator (KPI) atau Petunjuk Utama Prestasi akan diambil kira terhadap para siswa dan siswi yang melibatkan 7 perkara dalam aspek sahsiah dan usrah. Kesemua ini dilakukan bagi melahirkan graduan yang berperwatakan Muslim sejati.

Aku sangat terkejut mendegar kata-kata tersebut. Mana tidaknya, rakan-rakanku yang sedang dan akan meneruskan pengajian di Mesir diharamkan dan diugut dengan pelbagai ancaman sekiranya didapati mereka menyertai persatuan yang tidak diiktiraf pihak penaja, khususnya PMRAM.

Bukanlah perkara itu yang ingin dibincangkan sekarang. Tetapi aku ingin menyuarakan kegembiraan dan kelegaan hatiku kala menerima surat jemputan untuk majlis tersebut setelah sekian lama tidak mendengar apa-apa berita daripada JAIS. Alhamdulillah, majlis tersebut berakhir selepas YB Dr. Hassan Mohamed Ali menyempurnakan majlis penutup dan menyampaikan wang pendahuluan sebanyak RM1000 kepada setiap penerima dermasiswa zakat (MAIS) ke universiti Timur Tengah. Borang permohonan visa telah ku hantar, cek pendahuluan sudah diterima, yang tinggal cuma perjanjian dermasiswa yang perlu dihantar pada 14 ogos ini. Jumlah dermasiswa adalah sebayak RM30,000 bagi pengajian islam/ bahasa arab. Agen TITM Travel Bhd. telah menempah penerbangan Gulf Air pada 2 dan 3 september depan pada pukul 11.30 pagi; KL-Abu Dhabi,transit sehari dan Abu Dhabi-Cairo pada hari seterusnya. Maksudnya, seramai 100 orang pertama akan berlepas pada 2 september dan selebihnya pada 3 september.


gambar : Fail Perjanjian

Tak sabar-sabar rasanya menimba pengalaman hidup di negara orang. Segala keperluan perlu disiapkan segera kerana 10 hingga 14 ogos ini aku perlu menyertai kursus BTN di KBN, Meru. Insya-Allah, azam perlu ditekad sepenuhnya agar matlamat ini tidak terpesong dan supaya diri ini sentiasa dilindungi Rabbul 'Izzati pada setiap saat dan tempat. اللهم فقّهني في الّدين و علّمني التأويل.....