BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, October 29, 2010

Tugas Dakwah Adalah Tugas Kita

Figura Muslim sejati menuntut kepada izzah, jati diri serta ketrampilan yang unggul berasaskan kefahaman syariat Islam yang utuh. Dakwah dan thaqafah merupakan tiang utama yang memperhebat ciri-ciri pendokong agama Allah SWT setelah dibaluti dengan karakter, peribadi dan akhlak Islamiah yang membina qudwah.

Islam dan dakwah merupakan dua aspek yang tidak dapat dipisahkan. Tanpa dakwah, mana mungkin Islam yang membawa kesejahteraan hidup dapat dinikmati oleh ummah masa kini. Mata rantai perjuangan dakwah ini perlu diteruskan agar eksistensi Islam itu terus dapat dirasai oleh golongan selepas kita.

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:

" Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang ma'ruf, dan mencegah daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. " ( Ali Imran: ayat 104 )

Sejarah telah melakarkan bagaimana dakwah para pedagang Islam dari benua Arab yang bukan hanya membawa barang dagangan, bahkan membawa suatu fahaman agama yang suci daripada Tuhan Rabbul Jalalah telah sampai ke pelusuk Asia Tenggara. Hasilnya, bumi Melaka sebagai pusat perdagangan yang unggul suatu ketika dahulu telah menerima ajaran dakwah daripada para pedagang dari Tanah Arab yang juga merupakan penyampai risalah Nabi SAW lantas menatijahkan pengislaman Sultan serta rakyat jelata kala itu bahkan menjadikan bumi tersebut sebagai pusat penyebaran agama suci Islam ini. Kita melihat bagaimana besarnya jasa pendakwah ini dan perimana pentingnya usaha dakwah kepada ummat manusia ke seluruh alam.


Menurut Asy-Syahid Mustafa Masyhur, menyeru manusia kepada Allah SWT adalah kewajipan seorang Muslim dan Muslimah pada setiap masa. Terutamanya pada zaman kita ini, tugas dakwah lebih wajib kerana umat Islam dewasa ini terdedah kepada serangan jahat musuh-musuh Allah yang bertujuan mencabut teras dakwah Islam daripada jiwa kaum Muslimin. Dakwah merupakan suatu tanggungjawab yang tergalas atas bahu setiap individu Muslim terutama dalam zaman yang berkecamuk dengan pelbagai fahaman dan ideologi serta trend semasa yang memperbodoh, menyesat dan menyelewengkan. Firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat ke-33 yang bermaksud:

" Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri. "

Menyeru manusia kepada Allah SWT adalah salah satu marhalah yang penting dalam amal Islami yang dilakukan secara bersungguh-sungguh. Ia merupakan marhalah Ta'rif (memperkenalkan) yang mendahului marhalah Takwin (pembentukan). Di sana terdapat dakwah 'ammah yang dicernakan melalui pidato, ceramah-ceramah, majlis-majlis ilmu, media massa seperti buku-buku, risalah, surat khabar, majalah, kaset dan lain-lain. Di sana juga terdapat dakwah fardiah (dakwah individu) yang tidak kurang pentingnya yang mempunyai metodologi, peringkat serta keistimewaannya tersendiri.

Kepentingan dakwah diibaratkan seperti mengejutkan manusia yang sedang nyenyak tidur dan di sebelahnya terdapat api yang sedang marak yang mampu membakar dirinya. Tugas kita selaku pendakwah adalah dengan bersungguh-sungguh mengejutkan manusia yang sedang nyenyak tadi untuk bangun serta menjauhkan diri daripada ancaman api yang sedang marak menghampirinya. Biarlah dirinya tidak mahu untuk sedar lantaran lena diulit mimpi yang fana serta keseronokan dan nikmat berehat di atas tilam, namun tanggungjawab kita pastinya jelas kerana kita melihat bahaya yang mendatang dan akan memberi kemudharatan buat diri manusia tersebut.

Perihal thaqafah juga merupakan suatu unsur yang tidak boleh lari daripada dakwah itu sendiri. Tanpa kebijaksanaan ilmu dan pengetahuan, mana mungkin manusia mampu untuk menyambut dan menerima seruan ke arah kebenaran dan menjauhi kemungkaran lantaran strategi dan kemampuan pendakwah itu sendiri adalah sangat terbatas dan lemah. Thaqafah merangkumi ilmu-ilmu turathi dan kontemporari ditambah dengan pengetahuan yang bersifat mu'asoroh ( terkini ) yang mampu memperkasa dakwah dan penerimaan seruan ini oleh manusia yang jahil dan leka dengan kesonokan dunia. Dakwah tanpa thaqafah hanyalah suatu usaha yang sia-sia ibarat membeli sebuah kereta untuk memudahkan pergerakan ke tempat yang jauh, tetapi tiada pengetahuan teori dan praktikal untuk memandu kereta tersebut.

Thaqafah membina kredibiliti seseorang figura Muslim, bahkan Allah SWT meninggikan darjat golongan ini, seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:

" Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat. Dan ingatlah, Allah Maha Mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan. "

Buah dan natijah daripada kefahaman yang syumul terhadap Islam menurut Asy-Syahid Hassan al-Banna merangkumi keterikatan ilmiah dan pengetahuan kerana jemaah yang dipelopori oleh beliau sendiri pada realitinya adalah sekolah dan institusi untuk pembelajaran dan pengetahuan yang mendidik tubuh badan, akal dan roh. Perkara ini menatijahkan kemunculan para pendakwah sejati hasil bimbingan beliau yang gigih menyebarkan seruan dan amaran Tuhan kepada seluruh umat manusia di atas muka bumi ini. Saidina Ali Karamullahu wajhah pernah menyebut:

" Ilmu itu diiringi dengan amalan, maka barangsiapa yang memiliki ilmu hendaklah beramal dengan ilmu tersebut. Ilmu seolah-olah memanggil amalan seseorang dan pergi kepadanya apabila mendapat jawapan. Sebaliknya ilmu tadi akan pergi jauh daripadanya apabila tidak mendapat sebarang jawapan. "

Ilmu yang ditimba serta thaqafah yang ada seharusnya dicanai dan digabung jalin melalui amalan dalam erti kata lain bukan sekadar teori, bahkan secara amali. Pengaplikasian ilmu secara amali ini tidak akan lari daripada skop menerima dan menyampaikan kepada manusia yang lain untuk manfaat bersama. Namun, tanpa jalinan yang kukuh antara ilmu dan amal, natijahnya adalah buruk bahkan mengakibatkan kemurkaan Allah SWT seperti yang termaktub melalui firman-Nya dalam surah as-Soff ayat ketiga yang memberi mesej kemurkaan dan kebencian Allah akan menimpa golongan yang hanya pandai berkata-kata namun tidak mengerjakan apa yang dia sendiri katakan.

Justeru, dakwah dan thaqafah merupakan teras utama yang difikirkan atara faktor keberhasilan dalam melahirkan kader-kader Islam yang memikul amanah yang besar sebagai seorang khalifah di atas muka bumi.

-Abdul Nafi' Taqiuddin Mohd Roslan-

28 Oktober 2010