BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, October 29, 2010

Tugas Dakwah Adalah Tugas Kita

Figura Muslim sejati menuntut kepada izzah, jati diri serta ketrampilan yang unggul berasaskan kefahaman syariat Islam yang utuh. Dakwah dan thaqafah merupakan tiang utama yang memperhebat ciri-ciri pendokong agama Allah SWT setelah dibaluti dengan karakter, peribadi dan akhlak Islamiah yang membina qudwah.

Islam dan dakwah merupakan dua aspek yang tidak dapat dipisahkan. Tanpa dakwah, mana mungkin Islam yang membawa kesejahteraan hidup dapat dinikmati oleh ummah masa kini. Mata rantai perjuangan dakwah ini perlu diteruskan agar eksistensi Islam itu terus dapat dirasai oleh golongan selepas kita.

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:

" Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang ma'ruf, dan mencegah daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung. " ( Ali Imran: ayat 104 )

Sejarah telah melakarkan bagaimana dakwah para pedagang Islam dari benua Arab yang bukan hanya membawa barang dagangan, bahkan membawa suatu fahaman agama yang suci daripada Tuhan Rabbul Jalalah telah sampai ke pelusuk Asia Tenggara. Hasilnya, bumi Melaka sebagai pusat perdagangan yang unggul suatu ketika dahulu telah menerima ajaran dakwah daripada para pedagang dari Tanah Arab yang juga merupakan penyampai risalah Nabi SAW lantas menatijahkan pengislaman Sultan serta rakyat jelata kala itu bahkan menjadikan bumi tersebut sebagai pusat penyebaran agama suci Islam ini. Kita melihat bagaimana besarnya jasa pendakwah ini dan perimana pentingnya usaha dakwah kepada ummat manusia ke seluruh alam.


Menurut Asy-Syahid Mustafa Masyhur, menyeru manusia kepada Allah SWT adalah kewajipan seorang Muslim dan Muslimah pada setiap masa. Terutamanya pada zaman kita ini, tugas dakwah lebih wajib kerana umat Islam dewasa ini terdedah kepada serangan jahat musuh-musuh Allah yang bertujuan mencabut teras dakwah Islam daripada jiwa kaum Muslimin. Dakwah merupakan suatu tanggungjawab yang tergalas atas bahu setiap individu Muslim terutama dalam zaman yang berkecamuk dengan pelbagai fahaman dan ideologi serta trend semasa yang memperbodoh, menyesat dan menyelewengkan. Firman Allah SWT dalam surah Fussilat ayat ke-33 yang bermaksud:

" Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri. "

Menyeru manusia kepada Allah SWT adalah salah satu marhalah yang penting dalam amal Islami yang dilakukan secara bersungguh-sungguh. Ia merupakan marhalah Ta'rif (memperkenalkan) yang mendahului marhalah Takwin (pembentukan). Di sana terdapat dakwah 'ammah yang dicernakan melalui pidato, ceramah-ceramah, majlis-majlis ilmu, media massa seperti buku-buku, risalah, surat khabar, majalah, kaset dan lain-lain. Di sana juga terdapat dakwah fardiah (dakwah individu) yang tidak kurang pentingnya yang mempunyai metodologi, peringkat serta keistimewaannya tersendiri.

Kepentingan dakwah diibaratkan seperti mengejutkan manusia yang sedang nyenyak tidur dan di sebelahnya terdapat api yang sedang marak yang mampu membakar dirinya. Tugas kita selaku pendakwah adalah dengan bersungguh-sungguh mengejutkan manusia yang sedang nyenyak tadi untuk bangun serta menjauhkan diri daripada ancaman api yang sedang marak menghampirinya. Biarlah dirinya tidak mahu untuk sedar lantaran lena diulit mimpi yang fana serta keseronokan dan nikmat berehat di atas tilam, namun tanggungjawab kita pastinya jelas kerana kita melihat bahaya yang mendatang dan akan memberi kemudharatan buat diri manusia tersebut.

Perihal thaqafah juga merupakan suatu unsur yang tidak boleh lari daripada dakwah itu sendiri. Tanpa kebijaksanaan ilmu dan pengetahuan, mana mungkin manusia mampu untuk menyambut dan menerima seruan ke arah kebenaran dan menjauhi kemungkaran lantaran strategi dan kemampuan pendakwah itu sendiri adalah sangat terbatas dan lemah. Thaqafah merangkumi ilmu-ilmu turathi dan kontemporari ditambah dengan pengetahuan yang bersifat mu'asoroh ( terkini ) yang mampu memperkasa dakwah dan penerimaan seruan ini oleh manusia yang jahil dan leka dengan kesonokan dunia. Dakwah tanpa thaqafah hanyalah suatu usaha yang sia-sia ibarat membeli sebuah kereta untuk memudahkan pergerakan ke tempat yang jauh, tetapi tiada pengetahuan teori dan praktikal untuk memandu kereta tersebut.

Thaqafah membina kredibiliti seseorang figura Muslim, bahkan Allah SWT meninggikan darjat golongan ini, seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:

" Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat. Dan ingatlah, Allah Maha Mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan. "

Buah dan natijah daripada kefahaman yang syumul terhadap Islam menurut Asy-Syahid Hassan al-Banna merangkumi keterikatan ilmiah dan pengetahuan kerana jemaah yang dipelopori oleh beliau sendiri pada realitinya adalah sekolah dan institusi untuk pembelajaran dan pengetahuan yang mendidik tubuh badan, akal dan roh. Perkara ini menatijahkan kemunculan para pendakwah sejati hasil bimbingan beliau yang gigih menyebarkan seruan dan amaran Tuhan kepada seluruh umat manusia di atas muka bumi ini. Saidina Ali Karamullahu wajhah pernah menyebut:

" Ilmu itu diiringi dengan amalan, maka barangsiapa yang memiliki ilmu hendaklah beramal dengan ilmu tersebut. Ilmu seolah-olah memanggil amalan seseorang dan pergi kepadanya apabila mendapat jawapan. Sebaliknya ilmu tadi akan pergi jauh daripadanya apabila tidak mendapat sebarang jawapan. "

Ilmu yang ditimba serta thaqafah yang ada seharusnya dicanai dan digabung jalin melalui amalan dalam erti kata lain bukan sekadar teori, bahkan secara amali. Pengaplikasian ilmu secara amali ini tidak akan lari daripada skop menerima dan menyampaikan kepada manusia yang lain untuk manfaat bersama. Namun, tanpa jalinan yang kukuh antara ilmu dan amal, natijahnya adalah buruk bahkan mengakibatkan kemurkaan Allah SWT seperti yang termaktub melalui firman-Nya dalam surah as-Soff ayat ketiga yang memberi mesej kemurkaan dan kebencian Allah akan menimpa golongan yang hanya pandai berkata-kata namun tidak mengerjakan apa yang dia sendiri katakan.

Justeru, dakwah dan thaqafah merupakan teras utama yang difikirkan atara faktor keberhasilan dalam melahirkan kader-kader Islam yang memikul amanah yang besar sebagai seorang khalifah di atas muka bumi.

-Abdul Nafi' Taqiuddin Mohd Roslan-

28 Oktober 2010

Friday, May 28, 2010

Sudut Pandang Penulis


Pertama : Penulis membenci pembelot dan pengkhianat agama sendiri. Penulis lebih mencintai Ruhud Diniyyah berbanding Ruhusy-Sya'biah.
"Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya." (An-Nahl;116)
Penulis membantah sekeras-kerasnya pemberian lesen judi Piala Dunia..Lulus permit=HARAM, Judi=HARAM, Sokong pemberian permit=HARAM.


Kedua : Penulis mengajak sidang pembaca mendoakan kebaikan dan kesejahteraan kaum Muslimin yang semakin diperlekeh muassir ini. Kapal Bantuan Kemanusiaan Gaza dikepung helikopter Israel. Syarat pemberian bantuan adalah pihak Isr
ael perlu memeriksa semua jenis bekalan bantuan dan 'diluluskan' terlebih dahulu. Setelah itu, kesembilan kapal tersebut perlu pulang ke pelabuhan asal tanpa boleh menyalurkan terusbantuan yang dibawa kepada rakyat Palestin.
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu." (Al-Baqarah:120)

Ketiga : Kebebasan berpolitik adalah hak individu dan setiap rakyat. Islam merupakan ad-Deen yang bersifat menyeluruh dalam semua aspek kehidupan manusia. Tiada suatu unjuran pun yang mampu keluar dari ruang lingkup kesyumulan Islam, k
hususnya politik. Gerakan memperbodoh pemikiran rakyat Mesir tidak akan sama sekali berlaku di Malaysia. Liberalisme dibantah, dibenci dan ditolak seratus peratus. Kembalikan keizzahan Islam melalui perpaduan dan kesatuan hati berasaskan syara'.
"Berkatalah perkara yang benar, meskipun pahit"(Hadis Rasulullah s.a.w.)
"Ketahuilah, sekiranya mereka meletakkan matahari pada tangan kananku dan bulan pada tangan kiriku supaya aku meninggalkan dakwah ini, nescaya aku sekali-kali tidak akan meninggalkannya,"(mafhum sabda Nabi s.a.w kepada bapa saudaranya;Abu Talib)
Anti Rasuah dan Penyelewengan Amanah!!



Friday, February 19, 2010

Jejak Sinai...part 1

Tanggal 15 hingga 17 Februari lalu, aku telah menyertai jaulah ke Sinai, Taba, dan beberapa tempat bersejarah yang lain lagi sekitar Mesir (XPERT '10)..Aku pamerkan diari sepanjang perjalananku untuk tatapan sidang pembaca sekalian..


15 Februari 2010

1.00 pagi : Peserta seramai lebih kurang 70 orang memulakan jaulah tarbawiyah dengan sebuah bas dan sebuah coaster..Kami sempat mengerjakan solat sunat musafir sebelum berangkat.

6.00 pagi : Tiba di Terusan Suez (terusan kedua tersibuk di dunia)..solat Subuh berjemaah di sana..berhenti sarapan di Nafa'.


Gambar 1: Kala Subuh Terusan Suez

7.45 pagi : Melalui Terowong Ahmad Hamdi..terowong yang berada betul-betul di bawah Terusan Suez ini menghubungkan Mesir di benua Afrika dengan Mesir di benua Asia dan dibina oleh syarikat Dissup, Perancis dengan tenaga buruh seramai 180 ribu orang.

8.10 pagi : Tiba di Nuktoh Sakinah di mana terletaknya kubu Israel yang dibina ketika peperangan Mesir-Israel..kubu yang ditimbus dengan pasir ini ditawan oleh tentera Mesir dengan hanya menggunakan pam air hasil ma'unah Allah s.w.t. melalui mimpi yang diilhamkan kepada seorang ulama Al-Azhar.


Gambar 2: Kitab Thalmud Yahudi sentiasa bersama-sama dengan senjata mereka

9.15 pagi : Sampai di perkampungan yang mana terletaknya 'Uyun Musa. Di sinilah berlakunya peristiwa yang disebut di dalam surah al-Qasas yang mana nabi Musa a.s membantu dua orang gadis (anak nabi Syuib a.s ) mengambil air di perigi. Terdapat sebanyak 12 perigi di dalam kawasan ini.


Gambar 3: Perigi Musa a.s dan dua anak gadis Syuib a.s


10.45 pagi : Mandi 'sauna' semula jadi di Hammam Firaun..(",")..tempat di mana Firaun mandi.Kawasan ini berada di dalam gua batu kapur menghadap Laut Mediterranean dan udara dalam gua ini cukup panas seolah-olah sedang ber'sauna'.Aku tak sanggup nak masuk..Kami meneruskan perjalanan ke Sinai selepas lebih sejam di sini..

Gambar 6: Dalam Hammam Firaun
3.34 petang : Akhirnya tiba di Sinai. Tempat pertama yang kami lawati ialah maqam nabi Soleh a.s..Kemudian, kami menziarahi maqam nabi Harun a.s dan bergambar di kawasan terdapatnya patung lembu Samiri seperti yang diceritakan dalam al-Quran. Samiri membuat fitnah yang besar apabila mengatakan patung lembu yang diukirnya itu adalah Tuhan manusia yang sebenar. Iman kaum bani Israel duji Allah s.w.t apabila nabi Musa yang pergi meninggalkan mreka untuk beruzlah selama 30 hari dan berjanji akan pulang setelah tempoh tersebut diperintahkan Allah s.w.t. untuk melanjutkan uzlah baginda sehingga genap 40 hari. Pada waktu inilah, berlakunya syirik besar-besaran dalam kalangan bani Israel.


Gambar 7: Maqam nabi Saleh a.s di sebelah kiri


Gambar 8: Patung lembu hasil ukiran Samiri

5.10 petang : Sehari suntuk berjalan, akhirnya tiba di tempat penginapan kami ; Wadi Muqoddas Hotel.Masing-masing berehat dan mengumpulkan tenaga untuk pendakian Jabal Musa (Gunung Sinai) lewat malam ini..(",")..

12.30 malam : Pendakian bermula. Masing-masing dengan baju sejuknya. Lampu suluh sentiasa di tangan..Pada kaki gunung ini, terdapat sebuah gereja Kristian yang dikatakan terdapat di dalamnya pohon kurma tempat di mana Maryam melahirkan nabi Isa a.s secara bersendirian..

*bersambung ke part 2..(gambar akan menyusul kemudian)..

Saturday, January 2, 2010

Cerdik tapi Malas


Ramainya orang cerdik tapi malas...tapi ramai juga orang kurang cerdik tapi rajin..namun amat sedikit orang yang cerdik dan rajin..

Sangat beruntung orang yang menyedari perkara ini dan mengambil istifadah daripadanya..

Aku lebih memandang yang rajin itu adalah kunci kejayaan,
Tapi tanpa kebijaksanaan kejayaan takkan dapat dikecapi,
Lalu bagaimana??

Seekor ibu Helang selamat mengeluarkan sebiji telur dalam sarangnya yang tinggi di atas pokok. Usai, ia terbang ke udara meninggalkan telur yang baru ditetasnya untuk mencari akar-akar pokok bagi membaluti telur itu. Malang tak berbau, ibu Helang ditembak si Pemburu Haram lalu jatuh menyembah bumi.

Hendak diceritakan, telur Helang tadi dicuri seekor helang yang lain. Namun, ketika hendak mendarat di atas tanah, telur tersebut jatuh bergolek dan lesap di celah-celah semak di belantara. Seekor ibu ayam hutan yang sedang mengais-ngais tanah mencari cacing terperanjat apabila sebiji telur terjatuh di atas rimbunan daun kering betul-betul di hadapannya. Telur itu masih elok dan tidak pecah. Ibu ayam tersebut lantas menyepak-nyepak telur tersebut dengan berhati-hati pulang ke rumahnya. Ia langsung menjaga telur itu dengan baik dan selamat.

Setelah 2 minggu, akhirnya telur itu menetas lalu keluarlah seekor anak Helang yang comel. Secara fitrah, muka pertama yang dilihatnya itu dianggap sebagai ibu. Ibu ayam amat gembira dan menyuapkan anak Helang cacing-cacing. Ia menjaganya dengan begitu baik.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Anak Helang terasa ingin mencuba untuk terbang. Ia pernah melihat kawanan helang yang terbang tingggi di udara dan amat cemburu dengan mereka. Ia mengadu kepada "ibu"nya dan menyatakan hasrat untuk terbang tinggi seperti helang. Namun, ibu ayam menegah dan berkata;

"Kamu tu anak ayam, mana boleh terbang tinggi..!!"

Namun, ia tidak putus semangat. Setiap hari, ia memanjat suatu batu yang agak besar dan cuba untuk terbang. Berkali-kali ia terjatuh. Namun, tetap berusaha tanpa mengenal sakitnya terjelepok di atas tanah. Setelah beberapa lama, akhirnya ia mampu untuk terbang. Pada awalnya, cuma setinggi pohon kecil. Namun, lama kelamaan ia sudah mampu menjangkau dahan pohon yang tinggi. Dan sudah pastinya anak Helang yang dibela oleh ibu ayam hutan dan tidak tahu bahawa dirinya adalah seekor Helang itu kini sudah mampu terbang menggapai awan sambil berlegar-legar di udara dalam jangka masa yang sangat lama. Namun, malangnya, ia masih belum menyedari bahawa ia sebenarnya adalah seekor Helang yang sudah dewasa!


Apa motifnya cerita di atas??

1) Semangat yang tinggi dan azam yang cekal ditambah dengan usaha yang gigih mamapu menghasilkan natijah yang luar biasa.

2) Setiap makhluk mempunyai kebolehan tersendiri yang kadang-kadang dia sendiri tidak menyedarinya.

3) Rajin berusaha tanpa mengenal erti penat adalah lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa.

Nah, sebenarnya aku ingin menyatakan bahawasanya " Rajin itu membezakan antara yang cerdik dan kurang cerdik. Ia mampu mengangkat darjat orang yang kurang cerdik menjadi lebih tinggi daripada orang yang cerdik tapi malas."

Para hukama' pernah menyebut:
" Seseorang itu tidak akan sampai kepada darjat kemuliaan sehinggalah ia merasakan betapa lazatnya kesabaran"

So,nak jadi rajin ke malas?? Tepuk dada tanya selera..Fikir-fikirkan! (",")