Putaran kehidupan tidak akan sirna daripada kebahagiaan, kesenangan dan keceriaan. Tawa riang kanak-kanak berlari-lari anak di taman yang menghijau daun-daun pepohonnya sambil diperhati ibu ayah yang tersenyum ceria dan bahagia. Namun kala putaran itu tiba di bahagian bawah, situasi sebaliknya cukup menguji tiap-tiap hati yang merasai keperitannya. Ibarat roda basikal tatkala berada betul-betul di atas jalan yang berlekak-lekuk, kekadang terlanggar batu-batu tajam yang mencucuk-cucuk. Begitulah analogi yang menjadi lumrah alam.
" Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar " ( Al-Baqarah: 155 )
Pernah suatu ketika Allah SWT menggegarkan bumi sehingga hancur binasa kaum nabi Luth alaihissalam, suara pekikan yang maha dahsyat ibarat dentuman guruh yang tak pernah didengari manusia sekuat itu yang memupuskan kaum Tsamud, juga banjir besar yang menyapu bersih kaum nabi Nuh alaihissalam. Satu persatu azab Allah berbentuk bencana alam yang memberi seribu satu pengajaran buat umat manusia yang hidup pada zaman seterusnya.
Abad ke-21, ujian itu kembali menemui manusia. Banjir besar kem
bali bertugas memberi peringatan buat manusia yang bongkak. Pergerakan lapisan bumi di bawah lautan menggeserkan dua tektonik bumi yang besar menyebabkan ia bertindih antara satu sama lain. Natijahnya, Bumi Matahari Terbit bergegar selama beberapa minit. Beberapa ketika, laut bergolak dan mengalir deras selaju hampir 200 kilometer sejam dan aliran semakin deras tatkala menghampiri pantai. Tsunami menoktahkan beratus ribu korban jiwa manusia, kemusnahan harta benda yang maha dahsyat serta kehancuran t
eknologi negara yang dianggap gah di mata dunia, ditambah pula dengan kebocoran bahan radioaktif yang cukup membahayakan hidupan darat dan laut. Kemajuan dan kemodenan yang dibina selama beratus v tahun hanya dapat dimusnahkan dalam masa beberapa minit.
Itu baru cerita Tsunami di Jepun. Belum lagi dihikayatkan bala letusan gunung berapi, puting beliung, gempa bumi, kemarau panjang dan berbagai-bagai lagi bencana yang berlaku di atas bumi yang semakin tua ini. Semuanya terlaksana atas arahan Tuhan Maha Perkasa tanpa ada bantahan dan halangan. Sejenak kita mendongak ke langit. Berfikir dan bertadabbur hikmah di sebalik segala bencana yang berlaku. Allah SWT masih menyayangi hamba-hamba-Nya. Tidak ditimpakan bencana itu sehingga menghapuskan kesemua hidupan yang melata. Namun, hanya sebilangan yang diuji sebagai pengajaran buat yang tidak diuji.
Al-Quran merupakan mukjizat nabi Muhammad SAW yang terhebat. Setiap episod kisah di dalamnya wajar diperhati supaya tujuan kehidupan di atas muka bumi mengikut matlamatnya yang sebenar. Jika tersasar daripada landasannya, maka AWAS! Kemaksiatan dan gelumangan dosa bakal menyaksikan interprentasi kemurkaan Tuhan yang dizahirkan melalui makhluk-Nya yang bergelar unsur alam. Tidak mengenal darjat keturunan, usia, taraf pendidikan hatta agama sekalipun.
" Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (agar mentaati Allah), tetapi bila mereka melakukan kedurhakaan di dalam negeri itu, maka sepantasnya berlakulah perkataan (hukuman Kami), kemudian Kami binasakan sama sekali (negeri itu) " ( Al-Isra' : 16 )
Islam mendefinisikan bencana alam yang berlaku sebagai suatu hukuman dan amaran buat manusia yang angkuh, bongkak dan melakukan maksiat yang berterusan. Namun, ia dianggap suatu ujian tahap keimanan, kesabaran juga penghapus dosa buat kaum Muslimin yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.
" Iaitu orang-orang yang apabila ditipa musibah, mereka berkata; Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya lah kami kembali . Mereka itulah (golongan) yang memperoleh keampunan dan rahmat daripada Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. "
( Al-Baqarah : 156-157 )
Tuntasnya, masihkah ada lagi sekelumit rasa insaf dan kesal dalam diri manusia asbab peristiwa bencana yang berlaku? Atau bala tersebut hanya sekadar menjadi buah mulut yang dituturkan tanpa ada kesedaran akan dekatnya Hari Perhitungan Teragung? Hadapkan wajah ke arah Baitullah dan bertaubatlah, sebelum jasad kita menjadi korban bencana seterusnya.
AbdNafi'
Kaherah, 5April 2011
0 comments:
Post a Comment